Civic Si Prototype

Civic Si Prototype

Selain dari Type-R, tahukah anda Civic turut mempunyai satu lagi varian sporty yang digelar Civic Si? Malah varian Si ini diperkenalkan lebih awal iaitu pada Civic generasi ketiga (SB) berbanding Type-R yang diperkenalkan pada generasi EK. Namun sejak Type-R diperkenalkan di Jepun, Si hanya diproduksi untuk Amerika Syarikat sahaja sebagai model Civic paling berkuasa untuk pasaran berkenaan dalam bentuk badan Coupe dua-pintu.

Pada Los Angeles Auto Show tahun ini, Honda telah mendedahkan model prototaip Civic Si yang diasaskan dari Civic Coupe dua-pintu dan juga sedan empat-pintu generasi kesepuluh, bersama prebiu Civic Type-R baharu yang diasaskan dari Civic Hatchback lima-pintu. Model-model ini dijangka akan menerjah pasaran dalam bentuk produksi tahun hadapan.

Varian Si ini akan dikuasakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dan dipadankan bersama transmisi enam-kelajuan manual dengan mekanisma short-shift. Berbanding enjin 1.5 VTEC Turbo pada varian biasa dan juga versi pasaran Malaysia, enjin pada varian Si dengan dua mekanisma VTC ini dikhabarkan berkuasa 180 hp/240 Nm, menjadikan ia Civic Si paling laju dan berkuasa pernah dibina.

Civic Si juga turut diberikan pelbagai kelengkapan berprestasi tinggi termasuk sistem penyerap hentak aktif baharu, sistem stereng aktif, LSD serta tayar berprestasi tinggi.

Pada bahagian luaran, Si diberikan kit badan lengkap Honda Factory Performance (HFP) terdiri dari splitter pada bahagian hadapan dan belakang, spoiler belakang serta tip ekzos berbentuk heksagon. Untuk melengkapkan rupa keseluruhannya, ia turut diberikan rim aloi forged berdiameter 19-inci disaluti tayar 235/35R19.

Rupa lebih agresif turut diberikan pada bahagian dalaman di mana ia diberikan tempat duduk Si yang lebih sporty dengan jahitan benang merah serta sulaman logo Si. Papan pemuka pula diberikan kemasan “Dry Metal Carbon” dipadankan dengan paparan instrumen dan sistem audio berwarna merah serta set pedal kemasan aluminium. Tema merah berkenaan turut diberikan pada panel dalaman pintu, roda stereng, tuil gear serta karpet lantai HFP.