vespa-px150-70-1

Apa yang anda lihat ini adalah sesuatu yang boleh menggembirakan peminat tegar motosikal Vespa. Ia adalah Vespa PX150 yang dikeluarkan khas sebagai memperingati ulang tahun jenama itu yang ke 70 dan istimewanya, menggunakan enjin dua lejang berkapasiti 150 cc dan gear jenis pulas di pemegang bahagian kiri.

Motosikal ini mengekalkan ciri-ciri klasiknya seperti model yang menjadi kegilaan ramai lebih 30 tahun yang dahulu dan ini boleh dilihat dengan kelengkapannya yang asas. Pemula enjin jenis tendang masih dikekalkan (penghidup elektronik juga masih ada), butang kawalan pula hanya untuk fungsi asas, badan menggunakan besi dan pedal brek di bahagian kaki kanan.

Di bawah tempat duduknya, terdapat dua tangki berasingan; satu untuk minyak petrol dan satu lagi untuk minyak dua lejang. Bermakna, pemilik tidak perlu menyukat sendiri minyak dua lejang apabila mengisi minyak dan hanya perlu menuangnya dalam tangki yang disediakan.

Bagi model edisi khas ulang tahun ini, Vespa mengenakan PX150 dengan warna biru mutiara unik dan mempunyai tempat duduk serta beg belakang yang dicetak dengan logo ulang tahun ke 70. Turut boleh disaksikan adalah lencana ulang tahun ke 70 di bahagian panel dalam berhampiran kaki penunggang.

Naza Premira menjual Vespa PX150 edisi ulang tahun ke 70 ini pada harga RM28,780 dan ia datang dengan jumlah yang begitu terhad- 36 unit sahaja untuk pasaran Malaysia. Selain PX150, Vespa edisi ulang tahun ke 70 turut didatangkan bagi model Primavera 150 dan GTS 150 yang harganya masing-masing RM18,440 dan RM20,627.