F1_2014_Malaysian_GP_03

Desas-desus bahawa Malaysia akan menarik diri dari menganjurkan perlumbaan Formula Satu setelah disuarakan oleh CEO SIC sendiri akhirnya terjawab. Menurut laporan Malay Mail, setelah menganjurkan F1 selama 17 tahun bermula sejak 1999, menteri pelancongan dan kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sahkan kerajaan tidak akan memperbaharui kontrak penganjuran sedia ada yang akan berakhir pada tahun 2018.

“Perjanjian sedia ada adalah dari 2016 hingga 2018. Jadi setelah tamat, tiada lagi [F1 di Malaysia],” kata Nazri dan menambah beliau bersetuju dengan menteri belia dan sukan Khairy Jamaludin yang menyatakan Malaysia perlu ‘berehat’ dari menganjurkan perlumbaan tersebut.

Nazri menambah negara tidak mendapat pulangan dari perbelanjaan yang dikeluarkan pada setiap perlumbaan. “Kedatangan penonton F1 kini menurun dan ia kurang daya penarik buat masa sekarang,” katanya. “Kita membelanjakan lebih RM300 juta setahun [untuk perlumbaan tersebut]. Kita tidak dapat semula RM300 juta.”

Menurut beliau lagi, penonton yang hadir ke grand prix kini menurun bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia, dan menambah kegagalan untuk menempatkan pelumba Malaysia dalam perlumbaan berprestij berkenaan turut menyumbang kurangnya minat terhadap sukan tersebut di sini. “Ia berbeza dari MotoGP, kerana minat orang ramai masih lagi disitu. Kita akan kehilangan banyak peluang dalam pelancongan sekiranya MotoGP dihentikan,” kata beliau.

Selain dari Malaysia, satu lagi negara penganjur F1 di Asia Tenggara iaitu Singapura turut dikhabarkan tidak berminat untuk memperbaharui kontrak penganjurannya yang bakal berakhir tahun hadapan atas alasan yang hampir sama.