sym-sport-rider-125i-28-bm

Demi keselamatan para penunggang dan pembonceng motosikal, pihak berkuasa jalan raya dan lebuh raya digesa membina kemudahan hentian berteduh atau ‘lay bay’ di jalan raya dan lebuh raya.

Menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan raya (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye, hentian berteduh di jalan raya dan lebuh raya yang menjadi laluan utama perlu dibina bagi meningkatkan tahap keselamatan serta melindungi penunggang dan pembonceng motosikal daripada dirempuh kenderaan lain, laporan Berita Harian.

“Langkah itu dilihat mampu mengelakkan kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang maut dirempuh kenderaan ketika berteduh di bawah jejambat. Ini adalah satu bentuk perlindungan untuk semua penunggang dan pembonceng motosikal yang selalunya berteduh daripada hujan lebat di bawah jejambat di lebuh raya,” ujarnya yang merujuk pada satu kemalangan yang berlaku di Kajang, Ahad lalu.

Pada Ahad lalu, seorang pembonceng motosikal maut manakala sekumpulan penunggang motosikal yang sedang berteduh sewaktu hujan lebat di bawah jejambat Lebuhraya Cheras-Kajang, nyaris mengalami nasib sama apabila sebuah kereta jenis Honda Civic, yang gagal dikawal pemandunya terbabas ke arah mereka. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kereta dipandu seorang wanita itu dalam perjalanan dari arah Kajang ke Cheras, dilaporkan berpusing sebelum merempuh sebuah motosikal jenis Honda EX5, yang dipandu di lorong paling kiri.