mercedes-benz-e-class-all-terrain-9-e1481175256726-850x438_bm

Pertama kali dipamerkan ketika Pameran Permotoran Paris tahun ini, Mercedes-Benz E-Class X213 All-Terrain merupakan versi yang lebih ranggi bagi E-Class Estate. Kini, pengeluarnya mendedahkan perincian serta gambar model berkenaan, dalam aksi yang lebih “liar”.

Dari luaran, imej off-roadnya disumbangkan oleh rekaan gril berkembar, pelapik hitam di bahagian lengkungan tayar serta skid plates dibahagian depan dan belakang. Ia 29 mm lebih tinggi daripada E-Class S213 Estate, dengan kelegaan dari permukaan tanah 156 mm.

Penggunaan sistem suspensi Air Body Control multi-chamber membolehkan pemandu memilih tiga ketinggian yang berbeza; kereta ini boleh direndahkan sehingga paras 121 mm dari tanah. Antara ciri off-road lain yang ada padanya ialah sistem pacuan 4Matic kekal, yang mengagihkan kuasa antara gandar depan dan belakang pada nisbah 45:55.

mercedes-benz-e-class-all-terrain-2-850x567_bm

Tugas janaan kuasa dipikul oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbodiesel yang menggantikan enjin 2.1 liter Mercedes sebelum ini. Pada varian E220d 4Matic, enjin ini menawarkan kuasa 194 hp pada 3,800 rpm dan 400 Nm pada 1,600 hingga 2,800 rpm, digandingkan dengan transmisi automatik 9G-Tronic. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa lapan saat, dengan kelajuan maksimum 231 km/j.

Pemandu juga boleh memilik mod pemanduan – Comfort, Eco, Sport, All-Terrain dan Individual – melalui suis Dynamic Select. Setiap mod memberikan kadar bantuan yang berbeza terhadap stereng, maklum balas pendikit dan suspensi. Mod spesifik All-Terrain pada model ini juga membolehkan suspensi udaranya dinaikkan sebanyak 20 mm dalam kelajuan tidak melebihi 35 km/j.

Dalam mod berkenaan, penunjuk khas di bahagian skrin akan turut memaparkan maklumat penting ketika off-road, termasuk sudut stereng, ketinggian kenderaan, sudut laluan, posisi brek/pendikit minyak serta kompas.

mercedes-benz-e-class-all-terrain-4-850x532_bm

Walaupun dengan semua ciri tambahan ini, ruang kabinnya kekal selesa dan elegan seperti E-Class yang lain. Ini termasuk skrin paparan 12.3 inci resolusi tinggi bagi sistem Comand Online, lampu suasana serta pengudaraan pada tempat duduk.

E-Class All-Terrain menyediakan ruang barangan seluas 670 liter, dengan nisbah lipatan 40:20:40 bagi tempat duduk belakang; membolehkan ruang maksimum dinaikkan kapasitinya kepada 1,820 liter. Dari sudut persaingan, model ini bertembung secara langsung dengan Volvo V90 Cross Country dan Audi A6 Allroad.