Volvo V90 merupakan model terkini yang ditawarkan dengan pakej Polestar Performance Optimisation, yang turut melibatkan peningkatan janaan kuasa pada wagon berkenaan.

Ditawarkan bagi model yang dilengkapi dengan enjin T6, D5 atau D4 (semuanya dengan sistem AWD), pakej berkenaan turut menambah baik maklum balas pendikit kereta berkenaan, kepantasan dan ketepatan penukaran gear serta prestasi enjin secara keseluruhannya.

Dengan peningkatan itu, enjin T6 pada V90 Country Cross kini menghasilkan 334 hp (daripada 320 hp) dan 440 Nm tork (daripada 400 Nm). Sementara itu, enjin D4 menyediakan 200 hp (daripada 190 hp) dan 440 Nm (daripada 400 Nm).

“Untuk memasukkan V90 Cross Country, sebuah crossover dengan imej lasak, ke dalam program ini adalah sesuatu yang penting kepada operasi kami untuk kelangsungan binaan kenderaan SPA pada kenderaan Volvo Cars. Produk kami menawarkan kepada pelanggan yang cenderung kepada prestasi sebuah pengalaman pemanduan yang lain,” ujar ketua pegawai operasi Polestar, Niels Moller.

Volvo turut melanjutkan penawaran ini kepada ahli kenderaan dari sini 90 yang lain – XC90 D4. Bagi kedua-dua model dengan sistem pacuan roda hadapan mahupun AWD, kuasa yang dijana dengan pakej berkenaan ialah 200 hp (daripada 190 hp). Bagi tork, sistem pacuan roda depan menerima 460 Nm (daripada 420 Nm) manakala versi AWD ialah 440 NM (daripada 400 Nm).

Bagi pengguna di Malaysia yang berminat dengan pakej daripada Polestar ini pula, Volvo Cars Malaysia turut menawarkan beberapa pakejnya bagi model V40 T5, XC60 (T5 dan T6) dan S60 T6. Selain daripada peningkatan pada janaan kuasanya, turut terlibat ialah pada bahagian casis, sistem masukan dan ekzos, roda serta ruang dalaman dan rekaan luaran.