Pelaksanaan High-Speed Rail (HSR) antara Kuala-Lumpur-Singapura tidak hanya memendekkan waktu perjalanan antara kedua negara, tetapi turut menyingkatkan waktu perjalanan bagi destinasi domestik.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, projek yang turut melibatkan sebuah hentian di Seremban itu misalnya akan turut membolehkan pengguna bergerak dari bandar itu ke Johor Bahru dalam masa kurang daripada setengah jam, memetik laporan Bernama.

“Jadi, dengan adanya stesen di Seremban nanti, kami merancang agar stesen berkenaan turut akan dihubungkan dengan KLIA, yang turut akan mewujudkan sebuah lokasi pusat baharu yang akan menjadi sebahagian daripada rancangan pembangunan yang dikenali sebagai Malaysia Vision Valley (MVV). Ini juga akan menggiatkan perkembangan rangkaian pengangkutan awam di dalam negara,” jelas beliau.

Semalam, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian dua hala yang akan menjadikan hal itu sebagai kenyataan di antara kedua-dua negara, memendekan tempoh perjalanan KL-Singapura yang melibatkan jarak kira-kira 350 km kepada hanya 90 minit dengan keretapi moden berkelajuan maksimum sekitar 300 km/j.