Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) hari ini telah memperkenalkan pakej Prestasi Nismo untuk sedan segmen-D Nissan Teana. Pakej prestasi berkenaan bukan sahaja didedahkan buat pertama kali di Malaysia, malah ia sebenarnya pengenalan sulung untuk peringkat global.

Pakej Prestasi Nismo untuk Nissan Teana ini didedahkan sendiri oleh dua orang pelumba GT500 Nismo iaitu Tsugio Matsuda dan Ronnie Quintarelli serta mula boleh ditempah mulai hari ini, manakala pelanggan dijangka akan menerimanya pada Januari tahun hadapan.

Pelanggan akan diberi pilihan dalam dua jenis pakej iaitu Nismo Aero Package yang berharga RM6,201 dan juga Nismo Performance Package yang berharga RM16,960. Kesemua harga yang dinyatakan ini adalah termasuk GST.

Untuk Nismo Aero Package, pelanggan akan menerima bampar hadapan dan belakang, skirt sisi, spoiler but dan juga kemasan pada tip ekzos. Kesemua peralatan ini turut diberikan pada Nismo Performance Package tetapi ditambah dengan set spring sport untuk merendahkan kereta ini sebanyak 30 mm, serta rim aloi Nismo LMX6 yang dibina bersama Rays Engineering kemasan hitam berkilat dan krom berdiameter 18-inci, dibaluti tayat Michelin Pilot Sport 4.

Menurut Nissan, pakej prestasi untuk Teana ini adalah diinspirasikan dari kepakaran Nismo dalam dunia perlumbaan, dan dihasilkan dengan standard ketat dari Nismo. Secara keseluruhan, pakej ini memberikan imej baharu yang lebih sporty dan garang kepada Teana.

Pakej prestasi Nismo untuk Teana ini dikelaskan sebagai peralatan yang dipasang di kilang dan memenuhi Standard Kualiti Global Nissan. Ia turut dilindungi dengan waranti selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

Kedua-dua pakej ini ditawarkan untuk semua varian Teana pasaran Malaysia iaitu varian asas 2.0XE, varian pertengahan 2.0XE serta varian tertinggi 2.5XV. Ia juga boleh dipadankan pada kesemua lima warna standard Teana di dalam brosur iaitu Storm Blue, Brilliant White, Diamond Black, Tungsten Silver dan Bronze Gold. Pakej ini bukan sahaja untuk kereta-kereta baharu, malah pemilik Teana sedia ada juga turut boleh memilikinya secara berasingan.

Tiada sebarang talaan kuasa enjin diberikan pada pakej ini di mana Teana dengan enjin 2.0 liter MR20DE CVTC masih kekal berkuasa 136 PS/190 Nm, manakala enjin 2.5 liter empat silinder QR25DE Twin CVTC juga kekal dengan 173 PS/234 Nm. Kedua-dua enjin ini dipadankan dengan kotak gear Xtronic CVT, memacu roda hadapan.