Seperti yang dijangkakan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebelum ini, jumlah jualan kenderaan bagi bulan November 2016 adalah sedikit tinggi berbanding bulan Oktober. November mencatatkan kenaikan 2.5% atau pertambahan 1,206 unit kenderaan; keseluruhannya, angka jualan kenderaan November ialah 49,085 unit.

Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh pelancaran model-model baharu, dengan penawaran istimewa serta potongan harga dan diskaun menjadi antara tarikan utama. Bagaimana pun, jumlah jualan keseluruhan tahunan (TIV) bagi tempoh yang sama berbanding tahun lalu ialah 597,306 unit; 13.7% lebih rendah.

Sama seperti bulan lalu, MAA sekali lagi menjangkakan jualan pada Disember 2016 akan meningkat, memandangkan pengeluar kenderaan sedang giat mengadakan promosi akhir tahun dalam usaha terakhir untuk mencapai sasaran jualan bagi stok tahun ini.

Selain itu, ada juga kemungkinan pelanggan akan membuat pembelian atas faktor kenaikan harga kenderaan yang dijangka akan berlaku pada 2017 – ini juga tidak sukar untuk diagak; lihat sahaja kedudukan mata wang RM dalam pasaran dunia yang masih lemah.

Tahun lalu menyaksikan sejumlah 666,674 unit kenderaan didaftarkan, dan pada awal tahun 2016, MAA menjangkakan penurunan sebanyak 2.5% bagi TIV tahun ini. Dengan hanya berbaki sebulan sahaja lagi bagi 2016, dan jumlah jualan bagi tempoh sama tahun lalu yang menurun sebanyak 13.7% itu, jualan keseluruhan tahun ini bakal menyaksikan penurunan ketara.

Juga tidak terlalu sukar untuk memahami puncanya; keadaan ekonomi yang suram dan sentimen pengguna. Perkembangan yang sama dihadapi oleh pasaran automotif di Thailand, misalnya, serta industri-industri lain dalam negara seperti pasaran hartanah.