Jualan kenderaan di Thailand menurun sebanyak 6.2%

Jualan kenderaan di Thailand menurun sebanyak 6.2%

Thai Motor Expo 2016, sebuah siri pameran tahunan yang antara lain bertujuan untuk jual-beli kenderaan, telah melabuhkan tirai dengan jumlah tempahan yang diterima tidak mampu menepati sasaran awal. Secara keseluruhannya, pasaran automotif di Thailand dijangka akan mengakhiri tahun 2016 dengan jualan sebanyak 750,000 unit kenderaan, memetik laporan Bangkok Post.

Menurut jurucakap kelab automotif Federation of Thai Industries, Surapong Paisitpatanapong, sekali lagi angka jualan kenderaan di Thailand bakal menyaksikan penurunan, jatuh 6.2% daripada 799,592 unit kenderaan yang berjaya dijual tahun lalu.

Perkembang ini meneruskan trend penurunan angka jualan di sana. Pada 2012, angka jualan kenderaan di Thailand mencecah 1.45 juta unit, dengan pengecualian cukai bagi pembeli kereta pertama menjadi pemangkinnya. Ini termasuk permintaan yang tinggi daripada kawasan yang teruk dilanda banjir pada 2011. Setelah itu, jualannya mula menurun; 1.33 juta unit pada 2013, 881,832 unit pada 2014 dan 799,592 unit pada 2015.

Bagi Januari hingga Oktober 2016, jualan jatuh lagi sebanyak 0.7% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada 617,159 unit. Minggu hadapan, badan berkenaan bakal mengumumkan jumlah jualan bagi November dan Surapong angka yang akan dicatatkan ialah sekitar 62,000 hingga 63,000 unit.

Penganjur Thai Motor Expo, Inter-Media Consultant menyatakan terdapat 40,364 tempahan diambil pada pameran berkenaan bagi tempoh 30 November hingga 12 Disember lalu, turun 10.1% berbanding ketika pameran tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 32,422 merupakan tempahan bagi kereta penumpang; jatuh 17.1%. Toyota mendahului dengan 5,124 unit tempahan, diikuti Honda (4,902 unit), Isuzu (3,620 unit), Mazda (3,434 unit) dan Ford (2,441 unit).

Trend yang sama turut dicatatkan di Malaysia. Bagi 10 bulan pertama, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) melaporkan jumlah jualan ialah 466,208 unit, turut 13.9% berbanding tempoh sama tahun lalu. 2015 pula mencatatkan jumlah tertinggi bagi kenderaan yang didaftarkan, iaitu 666,674 unit.

Di awal 2016, MAA menjangkakan akan berlaku penurunan sebanyak 2.5% tahun ini. Angka sebenarnya akan kita ketahui tidak lama lagi, sebaik 2016 melaburkan tirainya nanti.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required