Ford F-150 bukan nama yang asing di Amerika. Sejak 35 tahun lalu, trak pikap F-Series menjadi antara yang paling popular di sana, dengan versi facelift bagi model ini muncul selepas tiga tahun model semasanya diperkenalkan. Kini, F-150 2018 pula akan membuat penampilan ketika pameran North American International Auto Show 2017 di Detroit.

Apa yang baru tentangnya? Penggayaan luaran bagi bahagian depan dan belakang adalah antara yang utama, termasuk dilengkapi ciri Pre-Collision Assist dengan Pedestrian Detection (yang pertama dalam kelasnya) serta prestasi enjin yang dipertingkatkan. Ini termasuk penggunaan enjin serba baru 3.0 liter Power Stroke V6 turbodiesel, serta enjin V6 dan V8 yang dipertingkat.

Setiap varian bagi model F-150 2018 ini, dari XL hinggalah yang paling tinggi, Limited, menerima rekaan gril baru, begitu juga dengan lampu utamanya serta bahagian bampar – menyumbang agar trak ini kelihatan lebih lebar dengan bukaan dan kedudukan tayar yang tegap (stance).

Sementara itu, setiap varian juga dibezakan dengan ketara dan jelas. Misalnya bagi F-150 Lariat yang dilengkapi Sport Package, palang berkembar uniknya diwarnakan dengan warna yang sama pada badan bagi mendapatkan penampilan atletik kustom. Juga terdapat enam rim dengan rekaan baru, dari yang berdiameter 17 inci hingga 22 inci.

Bahagian belakangnya juga menerima sentuhan rekaan yang baru, serta lambang F-150 yang melengkapi rekaan baru bagi lampu belakang. Juga untuk tujuan membezakan di antara varian, bahagian belakang ini turut menempatkan elemen melintang bagi varian King Ranch, Platinum dan Limited.

Bagi ruang dalam pula, tempat duduk diberikan dua warna kemasan baru – Dark Marsala bagi F-150 Platinum dan Navy Pier bagi versi spesifikasi paling tinggi, Limited. Antara trim atau kemasan baru yang turut ditawarkan ialah kemasan gentian karbon bagi F-150 XLT Sport dan Lariat Sport, sementara F-150 King Ranch pula menampilkan ciri baru – tempat duduk Kingsville Appointed.

Selain itu, kelengkapan teknologinya juga dipertingkat; adaptive cruise control dan fungsi stop-and-go yang memanfaatkan penggunaan radar dan kamera untuk mengikut aliran trafik, termasuk untuk berhenti sepenuhnya.

Selebihnya, ia dilengkapi juga dengan modem 4G LTE yang boleh menampung 10 peranti dalam satu-satu masa. Sistem pembesar suara B&O Play juga antara tarikan, yang diganding bersama ciri Sync 3 dengan FordPass, kamera 360 darjah, Lane Keeping System dan BLIS dengan teknologi trailer tow.

Barisan enjinnya juga ada beberapa jenis yang ditawarkan sebagai pilihan. Antaranya, sebuah enjin baru suntikan terus 3.3L V6 yang menawarkan kuasa 282 hp dan 343 Nm, serta enjin 3.5L V6 terdahulu. Enjin generasi kedua EcoBoost 2.7L pula hadir dengan teknologi suntikan terus, pengurangan geseran dalaman dan lebih lasak. Seperti enjin 3.5L EcoBoost (375 hp dan 637 Nm pada spesifikasi 2017), enjin baru ini bakal dipadankan dengan kotak gear 10-kelajuan bagi model tahun 2018.

Varian paling tinggi hadir dengan enjin 5.0L V8 pula khabarnya banyak yang diberi peningkatan, walaupun masih belum diumumkan setakat ini. Cuma, antara yang berita yang menarik ialah penawaran sulung F-150 dengan enjin diesel. Ia kemungkinan enjin 3.0L Power Stroke yang diwarisi daripada unit sama yang Ford bangunkan bagi PSA Peugeot, Citroen dan Jaguar Land Rover. Maklumat lanjut berkaitan perinciannya akan menyusul nanti.