Gambar rasmi untuk Volkswagen Tiguan 2018 telah pun dikeluarkan, sekali dengan perinciannya, apabila ia dipertonton buat pertama kali semasa North American International Auto Show 2017 di Detroit.

SUV ini diberitahu dibangunkan secara spesifik untuk menepati keperluan pelanggan di Amerika Syarikat, di mana ia adalah sebuah kenderaan yang lebih besar daripada Tiguan Eropah dan datang dengan pilihan tempat duduk baris ketiga untuk menjadikannya boleh memuatkan tujuh orang. Di Jerman, SUV ini akan dikenali sebagai Tiguan Allspace untuk membezakannya dengan yang asal. Di China, ia akan dipanggil sebagai Tiguan L.

Sama seperti Atlas yang lebih besar, Tiguan juga diasaskan daripada platform Modular Transverse Matrix (MQB). Jika dibandingkan dengan Tiguan generasi kedua, Allspace mempunyai lebih ruang – panjang 4,704 mm, dan ini adalah 272 mm lebih panjang dan 57% lebih kapasiti kargo.

Jarak roda 2,791 mm Tiguan menunjukkan ia telah dipanjangkan 112 mm, dan selain tempat duduk baris ketiga (standard pada model FWD, pilihan untuk versi AWD), tempat duduk baris kedua juga boleh dilungsur ke depan dan belakang, dalam jarak 178 mm.

Di Amerika Syarikat, Tiguan 2018 akan dikuasakan oleh enijn 2.0 liter TSI yang diperbaharui, dengan 184 hp dan 300 Nm tork, memacu dua tayar hadapan melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Sistem pacuan empat roda 4Motion dengan ciri Active Control empat mod ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

Kamera undur didatangkan secara standard, dan ciri Adaptive Cruise Control dipertingkat supaya boleh digunakan dalam trafik yang kerap berhenti dan jalan. Forward Collision Warning dan Autonomous Emergency Braking dengan Pedestrian Monitoring, Blind Spot Monitor dengan Rear Traffic Alert, Lane Departure Warning dan Automatic Post-Collision Braking System semuanya ada pada Tiguan 2018.

Bahagian dalam SUV ini datang dengan fabrik tempat duduk bercorak rombus untuk model permulaan, dan yang lain datang dengan tempat duduk kulit, tempat duduk boleh dilaras secara elektronik, tempat duduk hadapan dan stereng dengan ciri pemanas, bumbung panoramik, pintu but yang boleh dibuka dengan pengesan yang diletakkan di bawah, paparan Digital Cockpit (seperti yang dilihat pada Passat B8) dan sistem audio Fender Premium.

Sistem VW Car-Net disediakan sebagai pilihan, menyediakan rangkaian servis kenderaan berpenghubung, termasuk teknologi App-Connect standard yang menawarkan integrasi telefon pintar bersama tiga platform utama iaitu Apple CarPlay, Android Auto dan MirrorLink.

Tiguan standard (bukan versi yang besar ini) akan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini sebagai sebuah model pemasangan tempatan (CKD) dan ia sudah ditemui di Kuantan sebelum ini.