Walaupun hanya menawarkan dua model bagi pasaran kenderaan penumpang di sini, Isuzu Malaysia ada berita gembira buat pelanggan bagi tahun 2017 ini; tempoh jaminan atau waranti bagi dua model berkenaan kini dilanjutkan dari tiga tahun sebelum ini kepada lima tahun.

Trak pikap popular jenama ini di Malaysia, Isuzu D-Max yang sebelum ini datang dengan jaminan tiga tahun dan had perbatuan 100,000 km kini dilanjutkan tempoh jaminan berkenaan kepada lima tahun dengan had perbatuan 150,000 km, yang mana dahulu.

Sementara itu, bagi model SUV tujuh tempat duduk yang diasaskan menggunakan platform yang sama dengan D-Max, iaitu MU-X, turut menerima lanjutan jaminan kepada lima tahun. Membezakan penawarannya berbanding D-Max ialah jaminan itu diberikan tanpa had perbatuan (unlimited mileage).

Bagi segmen kenderaan perdagangan pula, Isuzu mengekalkan dominasi kedudukan tempat teratas bagi tiga tahun berturut-turut setakat pencapaian tahun 2016 yang lalu. Maklumat lanjut berkaitan hal ini akan diumumkan Khamis nanti oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) di dalam sidang media berkaitan prestasi dan pencapaian pengeluar bagi pasaran tempatan sepanjang tahun lalu.