Selepas menyaksikan kenaikan harga bahan api Februari 2017 lalu, perkembangan bagi bulan Mac mungkin sedikit melegakan. Tiada kenaikan harga petrol; RON 95 akan kekal dijual pada harga RM2.30 seliter, manakala RON 97 juga kekal pada harga RM2.60 seliter.

Bagaimanapun, sedikit berbeza halnya dengan bahan api diesel; harga pada bulan Mac akan naik 5 sen. Ia akan dijual pada harga RM2.20 seliter, sementara diesel Euro 5 pula pada harga RM2.30 seliter – harga yang sama dengan petrol RON 95.

Februari 2017 mencatatkan kenaikan harga bahan api yang agak ketara, sebanyak 20 sen bagi petrol, manakala diesel naik 10 sen. September 2016 mencatatkan harga runcit terendah dalam masa terdekat dengan pelaksanaan sistem harga apungan, dengan RON 95 dijual pada harga RM1.70 seliter, sementara RON 97 pada RM2.05.