BMW K 1600 GT dilancar di M’sia – harga RM160k

BMW K 1600 GT dilancar di M’sia – harga RM160k

Diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali pada bulan Oktober tahun lalu, motosikal touring mewah BMW K 1600 GT 2017 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM159,900, termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan kos pendaftaran.

Motosikal ini menggunakan enjin enam silinder sebaris, yang didakwa oleh BMW sebagai yang paling ringan dalam kelasnya, dan ia mammpu menghasilkan 160 hp pada 7,750 rpm dan 175 Nm tork pada 5,250 rpm. Bagi model baru ini, enjin tersebut sudah melepasi tahap Euro 4 hasil daripada penggunaan catalytic converter baru, serta padanan pemetaan enjin dan sistem bahan api dengan tabung karbon untuk pengudaraan lebih baik.

K 1600 GT 2017 juga datang secara standard dengan sistem suspensi boleh laras elektronik Dynamic ESA. Suspensi semi aktif ini dibangunkan daripada teknologi yang ada pada kenderaan M-Series BMW – injap dalamannya adalah sama dengan M3 dan M4 – dan memberikan penyerapan yang optimum dalam pelbagai keadaan tunggangan dan permukaan jalan.

BMW K 1600 GT dilancar di M’sia – harga RM160k

Seterusnya, pemilik K 1600 GT 2017 juga boleh memilih dua mod tunggangan – tetapan Road memberikan keselesaan dan cengkaman optimum, manakala Dynamic terletak dalam tetapan yang lebih keras. Mod ini boleh ditukar dengan menekan butang yang terletak pada pemegang, dan pra beban spring juga boleh dilaras secara berasingan.

Bagi memberikan lebih kemudahan kepada penunggang, motosikal ini dilengkapi dengan sistem bantuan undur dan penukar gear Shift Assistant Pro. Untuk sistem undur tersebut, penunggang boleh mengaktifkannya dengan menekan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang, sambil juga menekan butang pemula enjin manakala Shift Assistant Pro pula boleh digunakan untuk menaik serta menurunkan gear.

BMW K 1600 GT 2017 menyediakan operasi tanpa kunci, di mana enjin boleh dimulakan dengan hanya menekan butang secara terus, dan pada waktu itu kunci perlu berada berdekatan, sama ada di dalam poket atau beg. Turut disediakan adalah Hill Start Control, yang membenarkan penunggang terus berada dalam kawalan walaupun berhenti di atas bukit, tanpa perlu bermain dengan pendikit, klac atau brek.

Pada bahagian kanan motosikal ini terdapat satu ruang simpanan kecil yang boleh dikunci, dan di dalamnya terdapat soket USB untuk mengecas alat elektronik seperti telefon atau unit GPS. Panel meter yang digunakan adalah daripada jenis skrin TFT LCD berwarna manakala penghadang angin hadapan pula boleh dilaras secara elektronik untuk dijadikan tinggi atau rendah.

Tiga pilihan warna disediakan untuk BMW K 1600 GT iaitu Black Storm Metallic, Mars Red Metallic dan Lupine Blue Metallic. Bagi warna terakhir itu, bahagian enjin dan transmisi motosikal diwarnakan hitam.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required