Jika sebelum ini ramai telah membayangkan ‘perang harga’ yang bakal menguntungkan pengguna akan bermula setelah kerajaan mengumumkan akan menetapkan harga siling bahan api pada setiap minggu bermula 29 Mac lalu, hakikatnya ia tidaklah seindah yang disangka.

Menurut kenyataan terbaharu dari Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin menerusi laporan Bernama, pemilik stesen minyak yang mahu menawarkan harga promosi bagi bahan api di premis mereka perlu terlebih dahulu mengemukan permohonan kepada kementeriannya. Mereka (pemilik stesen minyak) tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tawaran harga promosi, yang akal mencetuskan perang harga.

“Kami tidak mahu tawaran tersebut mempunyai elemen kejutan yang akan membuatkan pengguna rasa tertipu. Sebagai contoh, mereka menawarkan harga rendah tetapi apabila pengguna datang mereka menyatakan tawaran tersebut hanya untuk lima pelanggan terawal, ini akan membuatkan orang ramai marah,” katanya.

KPDNKK tidak mempunyai masalah jika mana-mana pengusaha stesen minyak mahu menawarkan harga promosi termasuk menjual bahan api pada harga lebih rendah tetapi perlu mengikut prosedur operasi standard, kata Hamzah. Sebelum ini, kementerian berkenaan turut menjangkakan harga bahan api akan terapung antara 5-10 sen pada setiap penetapan harga terkini dengan mekanisma harga siling baharu ini.

Kebimbangan ini juga turut disuarakan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia (PDAM) yang mengatakan bahawa sebahagian pengedar, tertutamanya peruncit kecil, tidak akan mampu bertahan lama kerana mereka tidak mampu menawarkan diskaun atas sebab margin keuntungan yang kecil.

Mekanisma harga bahan api baharu ini menetapkan harga baharu akan diumumkan pada setiap hari Rabu, dan harga berkenaan akan berkuatkuasa pada hari berikutnya. PDAM pada mulanya tidak bersetuju dengan mekanisma baharu berkenaan, tetapi kemudiannya mengalu-alukannya.