MINI Cooper Countryman F60 dilancarkan – dua varian, enjin 1.5L dan 2.0L turbocaj, harga dari RM240k

MINI Cooper Countryman F60 dilancarkan – dua varian, enjin 1.5L dan 2.0L turbocaj, harga dari RM240k

MINI Malaysia hari ini memperkenalkan secara rasmi model MINI Cooper Countryman F60 terbaru untuk pasaran Malaysia. Merupakan keluaran generasi kedua model berkenaan, terdapat dua varian yang ditawarkan; MINI Cooper Countryman dan MINI Cooper S Countryman – masing-masing pada harga RM239,888 dan RM269,888 – harga atas jalan tidak termasuk insurans.

Model ini menjadi kenderaan MINI yang paling besar ditawarkan bagi model jenama ini sepanjang 57 tahun sejarah kewujudannya. Di Malaysia, sejak diperkenalkan pada 2011, sejumlah 1,500 unit sudah diserahkan kepada pemiliknya.

Berbanding model terdahulu, versi terkini MINI Cooper Countryman ini adalah lebih besar. Ia kini hadir dalam dimensi 4,299 mm panjang (+200 mm), 1,822 mm lebar (+30 mm) serta ketinggian 1,557 mm. Jarak antara rodanya ialah 2,670 mm.

MINI Cooper Countryman F60 dilancarkan – dua varian, enjin 1.5L dan 2.0L turbocaj, harga dari RM240k

Bagi enjin pula, ini kalu pertama MINI Countryman ditawarkan dengan enjin TwinTurbo tiga-silinder dan empat-silinder generasi terkini yang dibangunkan oleh BMW Group. Bagi varian Mini Countryman serba baru, ia dilengkapi enjin 1.5 liter tiga-silinder sebaris yang menghasilkan 136 hp kuasa dan 220 Nm tork.

Ia dipadankan dengan sistem transmisi automatik Steptronic enam-kelajuan. Kombinasi ini memberikan kelajuan maksimum 200 km/j dengan penggunaan bahan api pada kadar 6 liter per 100 km. Pecutan dari 0-100 km/j ialah dalam 9.6 saat.

Varian MINI Cooper S Countryman serba baru pula menggunakan enjin 2.0 liter empat-silinder yang mampu menghasilkan 192 hp dan 280 Nm tork maksimum. Enjin ini dipadankan dengan penggunaan transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 224 km/j dengan penggunaan bahan api purata pada kadar 6.5 liter per 100 km. Pecutan dari 0-100 km/j pula dalam masa 7.4 saat.

MINI Cooper Countryman F60 dilancarkan – dua varian, enjin 1.5L dan 2.0L turbocaj, harga dari RM240k

Ada yang merujuknya sebagai jentera dengan karektor off-road; ia datang dengan landasan pada bumbung yang boleh digunakan untuk memasang rak bagi membawa barangan tambahan seperti basikal. Turut menjadikannya tampil premium ialah kemasan satin finish yang digunakan.

MINI Cooper Countryman F60 serba baru ini menggunakan lampu utama dari jenis LED yang turut akan mengikut arah stereng ketika ia dibelok. Ia turut dilengkapi dengan Icon Lights yang boleh diaktifkan sendirian. Rim bersaiz 18 inci digunakan, manakala bagi MINI Cooper S Countryman, ia menggunakan rim MINI Yours bersaiz 19 inci.

Ruang kabinnya menggunakan upholstery hitam Firework Carbon dengan permukaan dalaman berwarna kelabu (Hazy Grey) dengan stereng sport dibalut kulit. MINI Cooper S Countryman pula menggunakan kemasan dalaman yang dikenali sebagai MINI Yours Piano Black Illuminated yang membolehkan kokpit dinyalakan dengan warna pilihan pengguna. Tidak ketinggalan, kemasan kulit Cross Punch warna hitam Carbon Black dan stereng kulit John Cooper Works bersama paddle shifter turut tersedia.

Turut menyumbang kepada sentuhan ergonomik serta suasana unik pada ruang kabin ialah susun letak butang kawalan yang ada. Selain itu, ruang untuk meletak barangan ditambah; antaranya poket pada panel pintu depan dan belakang yang mampu menampung botol minuman satu liter.

Pendekatan sama digunakan pada rekaan konsol tengah; banyak ruang khas direka dan disediakan untuk kegunaan pemandu dan penumpang. Ia juga hadir dengan sistem pendingin hawa automatik dwi-zon serta cermin pandang belakang anti-silau automatik.

Aspek pengalaman pemanduan, kendalian infotaimen dan komunikasi pada model ini dipertingkatkan dengan ciri MINI Connected yang menawarkan rangkaian integrasi telefon pintar yang menyeluruh dan akan terpampang dan boleh dikawal pada skrin sentuh beresolusi tinggi bersaiz 6.5”. Kedua-dua varian MINI Countryman serba baharu juga didatangkan dengan kamera undur sebagai ciri standard.

Satu ciri baru yang turut melengkapi model ini ialah pintu belakang automatik (automatic tailgate). Pengesan dipasang untuk mengesan pergerakan kaki pengguna, dan pintu ruang barangan di belakang akan terbuka dengan automatik. Ini merupakan ciri yang semakin kerap melengkapi model kenderaan kelas premium.

Dari segi ruang penyimpanan barang, jika semua tempat duduk dinaikkan, ruang kargo yang tersedia ialah 450 liter. Bagaimanapun, dengan tempat duduk belakang boleh dilipat mengikut konfigurasi 40:20:40, ruang kargo boleh ditingkatkan sehingga 1,390 liter.

Tempat duduk Picnic Bench yang boleh dilipat juga tersedia diruang but. Ciri ini membolehkan anda untuk duduk selesa di hujung bukaan ruang but berkenaan – dengan dua tempat duduk tambahan untuk kegunaan aktiviti luar.

MINI Countryman serba baru ini juga turut diperkenalkan dalam dua warna baru iaitu Chestnut dan Island Blue. Warna lain yang ditawarkan ialah British Racing Green, Chili Red, Light White, Melting Silver, Midnight Black dan Moonwalk Grey. Warna Thunder Grey pula eksklusif hanya untuk MINI Cooper S Countryman. Untuk maklumat lanjut berkaitan model ini, layari juga Carbase.my.

MINI Cooper Countryman

MINI Cooper S Countryman

MINI Cooper spesifikasi UK

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required