Mengapa penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kenderaan sangat penting? Jawapannya juga sangat mudah, atas sebab keselamatan. Namun, masih ramai yang memandang enteng perkara ini. Ini ditambah pula dengan pelaksanaan undang-undang yang masih belum dikuatkuasakan sepenuhnya.

Jika anda masih ragu-ragu tentang bagaimana kerusi khas ini boleh menyelamatkan nyawa kanak-kanak sekiranya berlaku kemalangan, tonton video pesanan keselamatan ini yang dibawakan oleh Proton. Di dalamnya, kami menghuraikan bagaimana ia berfungsi, dan apa kesannya jika tidak digunakan.

Antaranya, tali pinggang keledar hanya berfungsi dengan berkesan terhadap orang dewasa dan tidak pada kanak-kanak. Saiz tubuh mereka yang kecik dan lemah boleh menyebabkan kecederaan serius jika hanya menggunakan tali keledar berkenaan.

Jika anda merasakan kerusi keselamatan kanak-kanak ini mahal, pandangan ini sama sekali tidak benar. Memang ada jenama-jenama luar yang mengeluarkan kerusi khas ini dengan harga mahal, sesuai dengan ciri atau kemasan yang ditawarkan.

Tetapi, terdapat juga kerusi khas yang dikeluarkan oleh jenama biasa yang dijual pada harga berpatutan. Lebih penting, ia menjalankan fungsi yang sama pada harga yang lebih rendah. Sebagai contoh, Proton menyediakan tawaran berkenaan bagi mereka yang membeli kenderaan baru yang dikeluarkan syarikat itu; kerusi keselamatan dengan nilai RM1,000 dijual hanya pada harga RM299.