DS 5 baharu dilancarkan di Malaysia – harga RM199k

DS 5 baharu dilancarkan di Malaysia – harga RM199k

DS akhirnya melancarkan model perdana DS 5 baharu, iaitu eksklusif dengan jenamanya yang tersendiri. Sebelum ini, ia dilancarkan atas jenama Citroen, kali ini, DS 5 mahu berdikari dan membuktikan kepada pasaran bahawa ia boleh dikenali dengan jenamanya sendiri. Hadir dengan penggayaan yang lebih eksklusif, kekemasan yang lebih terperinci dan diperkemaskinikan bersama teknologi yang lebih canggih.

DS 5 hadir dengan bingkai gril heksogan krom baharu dengan logo DS di tengahnya. Masih mengekalkan elemen yang berciri aerodinamik dan tebal, bahagian hadapan DS 5 turut diserikan dengan karakter yang lebih berprestij termasuk dengan adanya DS Wings yang merentasi bahagian lampu utama xenon dengan lampu LED baharu serta lampu nyalaan siang LED.

Penggayaan avant-garde baharu turut menjadi pilihan imej terkini bagi DS 5 ini, dari bahagian hadapan hingga ke belakang dengan lampu LED yang menyerlah, spoiler belakang, paip ekzos berkembar serta rim aloi 18-inci.

Bahagian kabinnya telah mempertaruhkan elemen rekaan umpama aerospace dengan inspirasi kokpit jentera penerbangan. Kawalan utama diletakkan pada dua konsol tengah dengan rekaan butang dan suis khas. Bukan itu sahaja, ia turut diserikan dengan pencahayaan ambien yang lebih mempesonakan.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan paparan antara muka sentuhan berwarna baharu termasuk sistem terkini yang memudahkan akses untuk semua fungsi di dalam kenderaan termasuk dari navigasi hingga ke hiburan. Malah ia turut menampilkan skrin generasi terkini termasuk bagi teknologi New Mirror Screen di mana fungsi ini membolehkan pengguna memadankan kandungan dalam telefon pintar ke skrin berwarna secara terus.

Bukan itu sahaja, DS 5 turut didatangkan dengan sistem audio Denon Hi-Fi dengan enam-pembesar suara dan subwoofer yang terpasang di bahagian belakang. Malah turut menampilkan sambungan Bluetooth dan USB/IPOD, sistem pendingin hawa dwi-zon automatik, butang penghidup enjin dan kemasukan tanpa kunci. Bentangan bahagian kabin didatangkan dengan dua pilihan tona kulit premium upholstery iaitu Basalt Black dan Sand Beige.

DS 5 baharu dilancarkan di Malaysia – harga RM199k

Hatchback ini dijanakan oleh enjin 1.6 liter turbo yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 163 hp pada 6,000 rpm dan tork 240 Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan. Penggunaan bahan apinya untuk kitaran kombinasi telah dipertingkatkan, kini 5.9 km bagi setiap liter dan pelepasan karbon dioksida pula sekitar 135 g/km.

Aspek keselamatan yang ditawarkan untuk DS 5 termasuklah enam beg udara, Program Kestabilan Elektronik (ESP), ABS dengan EBD, Bantuan Brek Kecemasan (EBA), dan Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC).

Ditawarkan pada harga atas jalan RM198,888 (bersama insurans), ia turut didatangkan dengan waranti selama lima-tahun atau 120,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu), bersama perkhidmatan Bantuan Tepi Jalan 24-jam dan akses eksklusif ke Sky Lounge by Naza di Lapangan Terbang Subang. ia turut hadir dengan dengan pilihan warna Artense Grey, Noir Perla Nera, Bleu Encre, Pearl White dan Whisper Purple.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required