Perlumbaan Suzuka 8 Hours adalah cukup terkenal dalam dunia perlumbaan motosikal dan telah dianjurkan sejak tahun 1978 lagi. Dalam pusingan seterusnya yang akan berlangsung pada 30 Julai ini, pelumba dari Malaysia iaitu Zaqhwan Zaidi diberikan peluang untuk menunjukkan kemampuan berlumba dalam acara tersebut.

Perlumbaan akan dijalankan selama lapan jam tanpa henti, dan Zaqhwan yang berlumba melalui pasukan Satu HATI. Honda Team Asia akan disertai dengan dua lagi rakan sepasukan iaitu Dimas Ekky Pratama dari Indonesia dan Ratthapong Wilairot dari Thailand.

Penyertaan Honda kali ini dalam Suzuka 8 Hours boleh dikatakan berskala besar dengan lebih lapan kumpulan dan 24 pelumba, disokong secara rasmi oleh Honda Racing Corporation menggunakan jentera CBR1000RR SP2. Jumlah ini tidak termasuk pasukan persenidiran lain yang turut menggunakan motosikal Honda.

Pasukan Satu HATI. Honda Team Asia telah menyertai Suzuka 8 Hours enam tahun berturut-turut dan tahun lepas, ia adalah pasukan Honda terbaik dengan berada di tempat ke lapan secara keseluruhan. Pasukan tiga orang pelumba Asia kali ini akan menggunakan jentera CBR1000RR berenjin empat silinder sebaris 999.8 cc yang berkemampuan 189 hp pada 13,000 rpm dan 116 Nm pada 11,000 rpm.