Setelah menghentikan pengeluaran motosikal jenama Victory, syarikat induk jenama itu iaitu Polaris Corporation ingin memberi tumpuan kepada jenama Indian, dan terbaru, model Scout Bobber 2018 diperkenal. Ia masih lagi menggunakan enjin dua silinder V berkapasiti 1,133 cc dan transmisi enam kelajuan yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 94 hp dan 97.7 Nm seperti Scout sebelum ini, tetapi penampilannya adalah berbeza.
Bagi menawarkan pengguna dengan sebuah motosikal jenis bobber terus dari kilang, model Indian Scout khas ini dilengkapkan dengan rim aloi 16 inci dan dibalut dengan tayar gemuk bersaiz 130/90 di hadapan dan 150/80 di belakang. Selain daripada itu, pemegang jenis tracker juga adalah lebih lebar dan tempat meletak kaki dianjak 38 mm ke belakang.
Bagi memberikan profail lebih rendah, motosikal ini menggunakan penyerap hentak belakang yang 25 mm lebih rendah manakala bahagian hadapan pula menggunakan fork teleskopik jenis kartrij dengan jarak pergerakan 120 mm. Jarak roda Scout Bobber adalah 1,562 mm dan beratnya adalah 254 kg. Dengan segala perubahan ini, Scout Bobber memberikan rasa dan tenaga menunggang yang berlainan.
Melengkapkan gaya sebuah bobber yang garang, Scout Bobber didatangkan dengan pelindung enjin dan ekzos yang minimal, latar belakang meter serba gelap, penghadang lumpur yang pendek dan kemasan tempat duduk dua tona warna. Pada tangkinya yang berkapasiti 12.5 liter terdapat lencana Indian yang baru.
Walaupun dinamakan sebagai model tahun 2018, Indian Scout Bobber akan dilancarkan pada hujung tahun ini di Amerika Syarikat dalam pilihan lima warna iaitu Indian Motorcycle Red, Thunder Black, Thunder Black Smoke, Star Silver Smoke dan Bronze Smoke, namun harganya masih belum didedahkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.