Bagi anda yang sering kali atau pun bakal melalui jalan di sepanjang Persiaran KLCC (hala utara ke arah Jalan Binjai), ini ada satu notis pemberitahuan untuk semua. Bermula semalam iaitu 24 Julai, jalan terbabit iaitu dari kawasan pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) bersebelahan Binjai di Kondominium Park sehingga persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda akan ditutup kepada lalu lintas. Penutupan jalan tersebut dijangka berlangsung sehingga 11 Oktober 2017.

Menurut Bachy Soletanche Group (BSG) Construction (Malaysia) Sdn Bhd, ia merupakan fasa pertama kerja penambahbaikan aliran trafik di kawasan itu yang akan dilaksanakan secara berperingkat. Keseluruhan kerja penambahbaikan itu melibatkan kerja naik taraf terowong-terowong sedia ada yang terdapat di antara Jalan Tun Razak dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC, dari Julai 2017 sehingga Februari 2020, laporan Bernama

“Dalam fasa pertama projek ini, laluan pejalan kaki (termasuk jalan logistik menuju ke Taman KLCC) serta lorong kiri jalan itu, kedua-duanya terletak di jalan Persiaran KLCC menghala ke Jalan Binjai,” menurut syarikat terbabit.

Sambungnya lagi, “Penutupan laluan sepanjang 50 meter itu hanya di antara Binjai on the park condominium dan persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda. Bagaimanapun, laluan pejalan kaki yang baharu akan disediakan untuk orang awam di kawasan itu.”

BSG berkata penutupan laluan pejalan kaki menghala ke Taman KLCC itu akan menghalang pemandu bas pelancong yang degil daripada berhenti di sepanjang Persiaran KLCC untuk tujuan merakamkan gambar di samping mengurangkan keseskan trafik di kawasan itu.

Menurutnya, kerja penambahbaikan aliran trafik di kawasan itu juga akan dapat menangani kesesakan trafik sedia ada dan memenuhi jangkaan peningkatan trafik berikutan pembangunan besar-besaran termasuk pembinaan stesen MRT oleh MMC Gamuda di sepanjang Jalan Binjai.

“Ketika ini pengguna jalan raya yang menggunakan laluan di antara Jalan Tun Razak (menghala Seremban) dan tempat letak kereta bawah tanah KLCC perlu pergi ke persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda terlebih dahulu, penyumbang utama kepada kesesakan pada waktu puncak di kawasan itu.

“Apabila kerja penambahbaikan aliran trafif di kawasan itu siap, pengguna jalan raya boleh melakukan perjalanan di antara Jalan Tun Razak (menghala Seremban) dan keseluruhan tempat letak kereta bawah tanah KLCC tanpa perlu pergi ke persimpangan lampu isyarat Persiaran KLCC-Lorong Kuda,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, apabila terowong-terowong berkenaan siap, laluan masuk dan keluar sedia ada di tempat letak kereta bawah tanah KLCC, terletak di sepanjang Persiaran KLCC,Jalan Binjai, tidak lagi dibuka kepada awam.

“Bagaimanapun, kedua-dua arah di Lorong Kuda (menghala Seremban dan menghala KLCC) akan membolehkan pengguna jalan raya untuk masuk dan keluar dari terowong,? menurutnya.