GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

Dengan pendedahan perdana peringkat global MPV konsep Daihatsu DN Multisix di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) hari ini, sudah cukup untuk menunjukkan betapa pentingnya pasaran MPV mampu milik di Indonesia bukan sahaja di rantau ASEAN, malah diperingkat dunia. Ini bukan pertama kali perkara seumpama ini berlaku di mana pada GIIAS tahun lalu, Mitsubishi telah membawa MPV konsepnya untuk membuat kemunculan sulung peringkat dunia, digelar XM-Concept.

Setahun berlalu, tanpa membuang masa yang banyak, hari ini di GIIAS 2017 model konsep tersebut telah dijelmakan dalam bentuk produksi penuh, juga membuat kemunculan sulungnya pada peringkat global. Laporan spekulasi sebelum ini menyebut ia akan digelar Mitsubishi Expander, tetapi semasa pendedahannya hari ini ia rasmi akan digelar Mitsubishi Xpander – bunyi sama tetapi ejaan lain, dan anda masih perlu berhati-hati menyebutnya agar tidak disalah erti.

Di Indonesia, Xpander bakal berhadapan dengan saingan dari Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan juga Honda Mobilio yang kini menerajui pasaran republik berkenaan. Sekiranya ia di bawa ke Malaysia kelak, MPV tujuh tempat-duduk yang direka seakan SUV ini tentunya bakal mengacau Honda BR-V yang kini mendominasi pasaran tempatan, sekiranya strategi harga yang betul dilancarkan.

GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

Walaupun direka dengan konsep yang hampir sama dengan BR-V, Xpander mempunyai tarikannya tersendiri iaitu direka dengan begitu futuristik dan hampir seiras dengan model konsepnya sebelum ini. Menurut Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Xpander akan menjadi peneraju bagi model yang menggabungkan keselesaan dan versatiliti pada MPV dengan prestasi dan kekuatan yang ada pada SUV-SUV keluarannya. Ia akan “dipenuhi dengan teknologi MMC dan pengetahuan SUV MMC.”

Ia diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen X pada bampar, lampu nyalaan tirus bersambung terus dengan gril hadapan, manakala lampu hadapan sebenar serta isyarat diletakkan pada kedua-dua sisi bampar (seperti rekaan pada Hyundai Kona).

Garis-garis sisi badan juga kelihatan hampir seiras dengan model konsep sebelum ini, bersama ‘otot-otot’ yang diberikan pada kesemua ruang roda. Elemen hitam pada tingkap-tingkap sisi SUV ini bersambung dengan kemasan hitam pada tiang-D dan cermin belakang bagi memberikan efek seakan bumbungnya terapung. Namun, model produksi ini tidak diberikan rel bumbung, menampakkan sedikit imej kurang lasak.

Bagi dimensi pula, panjang Xpander diukur dengan 4,475 mm dan 1,750 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,775 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, ia 22 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan jarak rodanya pula 113 mm lebih jauh. Kelegaan tanah MPV ini juga agak tinggi iaitu 205 mm atau 4 mm lebih tinggi dari BR-V.

Rekaan dari model konsep terus dibawa ke bahagian belakang di mana imej X jelas terpampang pada pintu tailgate, tetapi ia kurang diserlahkan kerana tidak diberikan warna hitam pada bahagian berkenaan. Bampar pada model produksi ini juga direka dengan rekaan yang lebih masuk akal berbanding dari model konsep. Bagi model varian tertinggi yang ditampilkan hari ini, ia diberikan rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci bersama tayar Dunlop bersaiz 205/55R16.

Mitsubishi Xpander dijana enjin petrol NA 1.5 liter empat silinder MIVEC, menghasilkan kuasa 103 hp dan 141 Nm (berbanding enjin 1.5 liter i-VTEC pada BR-V yang menjana 118 hp/145 Nm). Kuasa dari enjin akan memacu roda hadapan menerusi pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau empat-kelajuan automatik konvensional dengan torque converter.

Brek hadapan MPV ini diberikan sistem cakera manakala pada bahagian belakang diberikan sistem brek jenis dram dan ia turut dibantu sistem elektronik-hidraulik ABS, EBD dan BA, sementara kawalan kestabilan (ESC) dan bantuan mula mendaki (HSA) ditawarkan hanya pada varian tertinggi – sama seperti apa yang ditawarkan oleh Honda Mobilio pada pasaran Indonesia.

Sebelum ini, imej rasmi Xpander mendedahkan ia akan diberikan bahagian dalaman dengan tema warna beige dan hitam bersama kemasan-kemasan kayu palsu. Namun pada pendedahan hari ini ia turut tampil dengan pilihan lebih sporty dengan tema hitam keseluruhan bersama kemasan-kemasan gentian-karbon palsu.

Berbanding bahagian luaran MPV ini yang begitu agresif, bahagian dalaman Xpander nampak lebih normal menerusi papan pemuka yang rasional bersama panel instrumen yang mengandungi dua meter analog rekaan sporty, mengapit paparan informasi LCD pada bahagian tengah. Ia juga masih mengekalkan ciri seperti model Mitsubishi lain dimana paparan MID dapat kawal dengan butang “Info” yang diletakkan pada papan pemuka.

Ciri lain yang diberikan pada MPV baharu ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng boleh laras dengan gerakan teleskopik dan turun naik (agak unik pada segmennya), tempat duduk baris ketiga diberikan port USB dan boleh dilipat dengan nisbah 50:50, tombol satu-langkah untuk menggerakkan tempat duduk baris kedua bagi memudahkan akses ke baris belakang (tetapi hanya diberikan dua perehat kepala), ruang storan bawah lantai pada bahagian kargo, serta tayar gantian diletakkan pada bahagian bawah badan kereta.

Mitsubishi Xpander ditawarkan dalam lima varian di Indonesia iaitu GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate. Ia akan dijual pada harga bermula Rp 189,050,000 (RM60,843) hingga Rp 245,350,000 (RM78,968). MPV ini diproduksi di kilang baharu MMC yang terletak di Bekasi, Jawa Barat, dihasilkan sebanyak 80,000 unit setahun. Eksport ke pasaran ASEAN lain akan bermula pada tahun 2018.

GALERI: Mitsubishi Xpander Sport Automatik

GALERI: Mitsubishi Xpander Ultimate Automatik

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required