GIIAS 2017: Daihatsu Canbus, Thor modifikasi D-Sport

GIIAS 2017: Daihatsu Canbus, Thor modifikasi D-Sport

Satu perkara yang mungkin akan menyebabkan peminat modifikasi K-Car JDM di Malaysia cemburu dengan Indonesia ialah peneraju segmen berkenaan iaitu Daihatsu akan membawa versi-versi custom K-Car mereka ke Gaikindo Indonesia International Autoshow (GIIAS) secara tetap setiap tahun, walaupun model-model berkenaan tidak dijual di Republik tersebut. Untuk GIIAS 2017, Daihatsu telah membawakan dua K-Car yang telah diubahsuai dari Jepun iaitu Canbus dan Thor.

Daihatsu Canbus mula diperkenalkan di Jepun tahun lalu. Model ini direka berbeza dari Move (walaupun sebenarnya nampak hampir sama dari segi konsep) di mana Move dihasilkan sebagai MPV versi Kei manakala Canbus ini pula lebih kepada van dan ia disasarkan untuk pembeli wanita.

Canbus standard hadir dengan pilihan warna pastel serta tampil dengan rupa yang agak comel. Namun versi ubahsuai yang ditampilkan ini nampak lebih garang dan tidak ada masalah sekiranya dipandu seorang lelaki – tetapi dengan saiznya dan mukanya, ia masih kelihatan comel. Masih dijana enjin 658cc asal, Canbus ini dipenuhi dengan aksesori-aksesori yang digilai oleh abang-abang Kancil, Kelisa dan Myvi di Malaysia iaitu D-Sport.

Diberikan warna badan merah, Canbus ini turut menerima elemen mesh pada gril bampar hadapan, perumah lampu hadapan berwarna hitam serta gril utama baharu juga berwarna hitam. Bahagian bawah badan kereta ini juga diberikan warna hitam bagi memberikan tema warna dua-tona.

Bahagian belakang kereta ini pula menerima spoiler bumbung dan juga bampar baharu yang kelihatan lebih berkotak serta menempatkan tiga tip ekzos pada bahagian tengah. Suspensi juga telah diubahsuai untuk merapatkan badan kereta ke permukaan jalan dan dilengkapkan dengan rim D-Sport berdiameter 16-inci kemasan emas, dibaluti tayar Bridgestone UHP.

Bahagian dalaman Canbus ini turut diubah dengan warna yang sama pada bahagian luaran iaitu merah dan hitam. Bahagian-bahagian yang menerima sentuhan warna berkenaan termasuk pada tempat duduk, kemasan panel pintu, dan juga roda stereng khas dari Momo.

Daihatsu Thor (juga dikenali sebagai Toyota Wake di Jepun) pula sememangnya sebuah kereta yang yang direka sebagai MPV-kei sama seperti Move, tetapi diberikan ciri yang lebih premium serta pintu jenis gelangsar pada bahagian belakang. Model ubahsuai yang dibawa kali ini diberi nama “Little Giant” – seperti namanya, MPV comel ini kelihatan seperti abangnya di Toyota iaitu Vellfire.

Berbeza dengan Canbus, Thor yang dibawa ini bukan lagi kenderaan yang diklasifikasikan sebagai K-Car di Jepun kerana ia dari varian Thor Custom G turbo, dijana enjin 1.0 liter turbo (undang-undang K-Car hanya membenarkan enjin dengan kapasiti maksimum 660cc bagi menikmati potongan cukai istimewa).

Little Giant diberikan gril krom yang sangat besar pada bahagian hadapan bersama bampar standard hadapan yang sememangnya sangat agresif. Ia juga dipadankan bersama kemasan krom pada pintu tailgate belakang dan juga jalur lampu LED pada liang kemasukan udara sisi bampar hadapan.

Keseluruhan badan MPV kecil ini diberikan warna hitam tetapi bumbungnya diberikan kontras berwarna biru. Dengan suspensi yang turut direndahkan, penampilan Thor ini dilengkapkan bersama pemadanan rim bersaiz 17-inci yang diwarnakan biru, sama seperti bumbungnya. Imej VIP pada bahagian luaran turut diberikan pada kabin dengan serlahan upholsteri kulit ular pada tempat duduk.

GALERI: Daihatsu Canbus

GALERI: Daihatsu Thor

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required