Setelah tiga tahun berada dalam pasaran, MPV yang dikelaskan sebagai Kei-Car di Jepun – Daihatsu Move generasi keenam, kini menerima kemaskini untuk spesifikasi 2018. Selain dari rupa yang disegarkan, model ini juga diberikan berberapa peningkatan pada kelengkapannya.

Untuk bahagian luaran, Move menerima bampar hadapan yang direka semula bersama gril baharu, grafik baharu pada lampu belakang, manakala untuk varian lebih tinggi ia dibekalkan dengan lampu belakang LED. Varian lebih sporty digelar Move Custom turut menerima kit badan serta rim aloi dengan rekabentuk baharu.

Walau bagaimanapun, bahagian dalaman model ini masih kekal tanpa perubahan. Bergantung pada varian yang dipilih, ia hadir dengan pelbagai tema warna pada tempat duduk, papan pemuka dan juga panel-panel kemasan lain. Untuk Move Custom, bahagian bawah papan pemuka diberikan kemasan berwarna hitam, berbanding Move standard yang menerima warna lebih cerah pada kawasan berkenaan.

Bagi mengekalkan status kei-car model ini, ia dijana oleh enjin 660 cc yang menghasilkan kuasa dengan dua talaan berbeza – 64 PS/92 Nm, dan juga 53 PS/60 Nm bergantung pada varian. Kesemua enjin hanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, tetapi pelanggan boleh memilih sama ada untuk menggunakan pacuan hadapan ataupun dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda.

Walaupun kereta ini bersaiz kecil, Move dilengkapi pelbagai sistem keselamatan premium termasuk sistem bantuan keselamatan pemanduan Smart Assist II – memberi fungsi seperti brek kecemasan automatik kelajuan rendah bersama pengesan pejalan kaki, sistem kamera undur dengan sudut lebar, sistem amaran keluar laluan, lampu tinggi automatik, VSC dan juga traction control.