Selepas menandatangani perjanjian persefahaman dengan institut latihan kemahiran vokasional GIATMARA pada bulan November 2016, kini Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) melancarkan Program Latihan Superbike di pusat GIATMARA Batu Caves, Selangor. Acara ini turut menyaksikan penukaran perjanjian yang telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Acara pembukaan ini dirasmikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri dan program ini direka untuk menghasilkan juruteknik terlatih, yang mampu melakukan servis kepada motosikal berkuasa tinggi Kawasaki. Menurut Sabri, pelatih akan menjalani latihan kemahiran selama empat bulan di sebuah bengkel Kawasaki serba lengkap sebelum disambung dengan latihan industri selama tiga bulan di pusat servis eksklusif Kawasaki di Glenmarie.

Apabila telah selesai dengan latihan ini, pelatih akan mempunyai pilihan untuk bekerja dengan KMSB atau pengedar Kawasaki di seluruh Malaysia, atau mendapatkan geran dari MARA untuk memulakan bengkel sendiri yang fokus kepada motosikal berkuasa tinggi. Bengkel latihan yang diguna di GIATMARA menelan belanja lebih RM100,000 dan ia lengkap dengan peralatan diagnostik, perkakasan khas dan bilik pemasangan enjin serba bersih.

Selain daripada itu, Sabri turut menyatakan bahawa GIATMARA juga sedang dalam proses untuk melatih juruteknik elektrikal untuk memenuhi permintaan pekerjaan dalam bidang rangkaian keretapi elektrik di Malaysia. Ini termasuk MRT dan LRT, serta projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) yang akan menyambungkan Kuala Lumpur dan Singapura, dan rangkaian keretapi Pantai Timur.