Nissan, syarikat yang mula diasaskan sejak 84 tahun lalu, kini telah memproduksi kenderaan mereka yang ke-150 juta. Syarikat yang berpusat di Yokohama ini mengambil masa selama 57 tahun (1933 hingga 1990) untuk mencapai angka 50 juta yang pertama, dan 16 tahun kemudian (2016), ia telah mencecah 100 juta. Sejak itu, bahagian produksi semakin agresif mendaki ke puncak, dan hanya mengambil masa selama 11 tahun untuk mencapai lagi 50 juta.
Produksi terbesar bagi kenderaan Nissan dimonopoli oleh Jepun dengan merangkumi 58.9% atau 88.35 juta unit, diikuti dengan US (10.8%), China (7.9%), Mexico (7.9%), UK (6.2%), Asia (5.8%) dan Sepanyol (2.4%). Malahan Tan Chong Motors iaitu pengedar kenderaan rasmi Nissan di Malaysia, turut mempunyai kilang pemasangan bagi jenama itu di Vietnam, Myanmar dan dua lagi di negara ini iaitu Serendah (yang memasang Almera) dan Segambut. Fasiliti pemasangan mula beroperasi sejak tahun 1976.
Awal Jun lalu, Carlos Ghosn, pengerusi ahli lembaga pengarah Nissan Motor, mengumumkan Pakatan Renault-Nissan, yang kini telah disertai oleh Mitsubishi, mampu memintas Toyota dan Volkswagen Group sebagai pendahulu pemasaran global pada tahun ini.
Pakatan tersebut telah mengumumkan berjaya menjual 5,268,079 unit bagi kenderaan Nissan, Renault, Mitsubishi dan Dacia bagi separuh pertama 2017. Di mana Nissan sendiri telah menyumbangkan sebanyak 2,894,488 unit, dengan kedudukan yang paling kukuh di pasaran US, China dan Jepun. Manakala VW Group pula telah mencapai 5,115,900 unit kenderaannya bagi tempoh yang sama.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.