Uber memperluaskan lagi perkhidmatan mereka di Malaysia. Kali ini menawarkan perkhidmatan penghantaran makanan di sekitar Kuala Lumpur, sebagai permulaan.
Menerusi aplikasi UberEats Malaysia, Perkhidmatan ini tersedia di daerah perniagaan pusat Kuala Lumpur, Bangsar dan Damansara Heights, serta menawarkan makanan halal dan bukan halal yang dibungkus secara berasingan.
Kuala Lumpur merupakan bandar raya ke-10 di Asia yang melancarkan aplikasi itu selepas Seoul, Bangkok, Tokyo, Hong Kong, Taipei, New Delhi, Mumbai, Bangalore dan Singapura, laporan Bernama.
Menurut Pengurus Besar Malaysia dan Singapura bagi UberEat, Shri Chakravarthy Golapakrishnan, aplikasi yang bermula hari ini, hanya menerima kad kredit dan debit sebagai kaedah pembayaran buat masa ini.
“Bagaimanapun, kami akan menambah kaedah pembayaran secara tunai kerana kalangan rakyat Malaysia lebih selesa menggunakannya. Mungkin ia akan mula dilaksanakan pada suku pertama tahun hadapan,” katanya semasa majlis pelancaran aplikasi penghantaran makanan itu.
Setakat ini, aplikasi ini bekerjasama dengan 200 restoran dan 250 rakan kongsi penghantaran yang telah mendaftar sebagai pemandu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.