Menerusi satu iklan yang disiarkan di laman racecarsdirect.com, seorang penjual dengan akaun bernama Silvano Caira dari Itali telah mengiklankan untuk menjual sebuah enjin V10 untuk kereta Formula 1 yang dibina oleh Mugen-Honda.
Tiada perincian lengkap pada iklan berkenaan kecuali hanya maklumat ringkas yang bertulis ia adalah enjin Mugen-Honda V10 MF-350 ‘kosong’ – berkemungkinan anda akan dapat apa yang terlekat pada enjin berkenaan (mempunyai sistem suntikan bahan api dan juga sistem pencucuh) tanpa aksesori lain seperti pendawaian lengkap dan juga kotak komputer serta kotak gear. Ia dijual pada harga €10,000 (sekitar RM56k).
Iklan tersebut juga menyatakan enjin tersebut digunakan pada kereta Formula 1 pada tahun 1993/1994, jadi ia berkemungkinan enjin V10 dengan kapasiti 3.5 liter NA berkuasa sekitar 700 hp yang digunakan pada jentera pasukan Footwork (1993) atau jentera Lotus 109 (1994).
Diingatkan sekali lagi, enjin ini bukan di bina oleh Honda, sebaliknya oleh sayap perlumbaan rasmi mereka iaitu Mugen-Honda. Pada era ini juga, enjin berkenaan bukanlah enjin paling berkuasa, tetapi ia tidak mempunyai isu ketahanan seperti enjin V6 1.6 liter turbo Honda generasi terkini yang dibekalkan pada pasukan Mclaren.
Jadi, abang-abang VTEC NA sekalian, kalau rasa enjin B series atau K series anda dah tak boleh pergi laju lagi, tak nak turbo, boleh la kot cuba enjin ini pula.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.