Zhejiang Geely Holding Group telah melengkapkan pembelian syarikat pembangunan kereta terbang yang berpusat di Amerika Syarikat, iaitu Terrafugia. Nilai pembelian ini tidak dinyatakan, tetapi menurut Automotive News, syarikat tersebut masih lagi akan terus beroperasi di tempat asalnya (AS).

Terrafugia sudah beroperasi sejak tahun 2006 dan diasaskan oleh sekumpulan graduan MIT, dan dipercayai adalah yang paling ke hadapan dalam pembangunan kereta terbang. Syarikat ini juga adalah syarikat paling baru yang dibeli oleh Geely di luar China, selain Volvo sejak tujuh tahun yang lepas, 49.9% ekuiti dalam Proton dan 51% pemilikan dalam Lotus.

Pada tahun 2012, Terrafugia telah menunjukkan model Transition dengan harga $279,000 (RM1.17 juta), dan telah mendapat sijil kelulusan daripada Federal Aviation Administration tahun lepas. Menurut Terrafugia, Transition boleh terbang sekata pada kelajuan sekitar 160 km/j, dengan tahap paling tinggi 10,000 kaki dan jarak paling jauh 640 km.

Paling baru, Terrafugia menunjukkan model TF-X, yang menggunakan rekaan lebih seperti kereta dan dua motor elektrik untuk mendapatkan kuasa keseluruhan sebanyak satu megawatt (1,341 hp). Model ini juga boleh naik dan turun secara tegak dan menampilkan enjin petrol 300 hp, dengan kelajuan 322 km/j.

Ada juga syarikat lain yang sedang meneroka kereta terbang, seperti Aeromobil yang dikatakan sudah mengeluarkan model yang boleh mencecah kelajuan 160 km/j dan jarak pergerakan atas jalan sejauh 695 km, atau 745 km atas udara dengan kelajuan maksimum 357 km/j.