Tahun 2017 akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Dan, sebelum kita masuk ketahun 2018 dengan cabarannya yang tersendiri, kami di paultan.org/bm ingin membawa anda untuk menyorot kembali artikel-artikel paling popular yang diterbitkan sepanjang tahun ini, yang menarik perhatian paling ramai pembaca.

Bagi kami, subjek yang paling banyak menarik perhatian pembaca umum tahun ini bercampur baur. Tentunya, berita atau artikel tentang jenama pengeluar kenderaan tempatan Perodua menjadi pelopor. Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Senarai 10 artikel paling popular ini turut disumbangkan antara lain oleh berita berkaitan motosikal, perihal harga minyak dan isu-isu semasa berkaitan lalu lintas.

Jadi, kami mempersembahkan senarai 10 artikel paling popular sepanjang 2017:

10. Honda Accord 2018 didedahkan – 1.5 VTEC Turbo dan 2.0 VTEC Turbo bersama transmisi auto 10-kelajuan

Julai lalu, Honda buat pertama kalinya mendedahkan model Accord 2018 generasi kesepuluh diperingkat global. Ia tidak hanya hadir dengan reka bentuk luaran yang serba baru, tetapi unit atau sistem jana kuasa yang digunakan juga baru – ditambah juga dengan kelengkapan keselamatan yang paling maju pernah dipasangkan pada Accord.

9. GALERI: Toyota C-HR di M’sia – gambar sepenuhnya

Toyota C-HR merupakan model “dekat tapi jauh” untuk pasaran Malaysia. Sejak Mei, ia sudah diisyaratkan akan masuk ke pasaran Malaysia, dan pada bulan Ogos pula ia membuat penampilan menyeluruh yang pertama untuk pasaran tempatan. Dan, sehingga hari ini, ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Harapanya tempoh awal 2018 kita akan dapat lihat kelibat model ini di atas jalan raya tempatan.

8. RON 95 RM4.09 seliter? Ini kenyataan rasmi dari Shell

Petrol RON 95 dijual pada harga RM4.09 seliter? Ini berita yang menjadi tular pada bulan Mei. Ramai yang awalnya mendakwa stesen minyak Shell turut melibatkan unsur penipuan di media sosial. Tapi, apa sebenarnya yang berlaku adalah kesilapan teknikal yang melibatkan 160 transaksi keseluruhannya. Ini pula adalah kenyataan rasmi daripada pihak Shell sendiri, yang dikeluarkan pada tarikh 18 Mei.

7. Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

Satu-satunya artikel isu semasa berkaitan lalu lintas yang masuk ke senarai ini ialah tentang peraturan sekiranya anda menukar lencana atau logo kenderaan anda; misalnya dari Perodua kepada Daihatsu. Walaupun bunyinya seperti tiada masalah, perbuatan itu sebenarnya salah di sisi undang-undang.

6. Honda BR-V 1.5L dilancarkan di Malaysia – crossover 7-tempat duduk, 2 varian, harga bermula RM85,800

Ini antara model yang ditunggu-tunggu pada 2017. Menurut Honda Malaysia, ia sebuah MPV yang hadir dengan pakej sebuah SUV. Ditambah dengan tanda harga yang begitu berbaloi, Honda BR-V dengan kapasiti tujuh-tempat duduknya menjadi pilihan banyak keluarga muda di Malaysia. Ia juga mengisi kekosongan tersendiri di dalam pasaran automotif tempatan.

5. Ford F-150 dipertonton di Malaysia – empat pilihan enjin, CKD pemanduan kanan, harga bermula RM389k

Trak gergasi yang terkenal di AS, Ford F-150 kini sudah berada di Malaysia. Mungkin kerana reputasinya di luar negara, atau mungkin saiznya yang besar telah menjadi daya penarik yang “aneh” bagi trak ini. Lebih menarik, ia tidak dibawa masuk oleh pengedar sah Ford di Malaysia, Sime-Darby Autoconnexion, tetapi oleh Hamawangsa Kredit Sdn Bhd. Kami juga ada sediakan ulasan video untuk tatapan anda.

4. Petronas jelaskan isu pam tidak tepat – KPDNKK dan MCM uji, sahkan tiada penipuan dan percanggahan

Sekali lagi, isu harga minyak yang didakwa melibatkan penipuan di stesen – kali ini melibatkan Petronas – juga sempat tular dan meraih perhatian ramai pembaca dan di media sosial. Khabarnya, pam di stesen minyak berkenaan tidak tepat dalam mengeluarkan jumlah minyak seperti yang tertera. Kesudahannya, berdasarkan pemeriksaan KPDNKK, tiada penipuan atau percanggahan bacaan yang dilakukan.

3. Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

Dan, lagi artikel berkaitan minyak yang mendapat perhatian ramai pembaca. Tetapi kali ini, kami melakukan ujian antara RON 95 dan RON 97 pada dua unit Proton Saga yang serupa spesifikasinya untuk melihat jenis minyak yang mana lebih menjimatkan sebenarnya. Dengan kerjasama Segmen Auto, Bulletin Utama TV3.

2. Modenas Pulsar RS200 dan NS200 dilancarkan – enjin 199.5 cc, 24.5 PS dan 18.6 Nm, harga dari RM9,222

Satu-satunya berita tentang motosikal yang tersenarai di dalam 10 artikel paling popular tahun ini adalah berkaitan pelancaran model kerjasama Modenas-Bajaj, RS200 dan NS200 untuk pasaran Malaysia. Diperkenalkan pada bulan Mei, kedua-dua motosikal ini menjadi model utama dalam barisan produk Modenas sekarang. Turut kami sediakan ulasan video bagi kedua-dua model ini untuk anda.

1. Perodua Myvi 2018 dilancarkan di Malaysia – model generasi baharu, 1.3L dan 1.5L, bermula RM44,300

Mendahului senarai ini ditempat pertama tidak lain dan tidak bukan berita tentang pelancaran model terbaru Perodua Myvi 2018. Merupakan model serba baru, tetapi harga yang ditawarkan tidak jauh berbeza daripada model sebelumnya – bahkan ada varian yang harganya lebih rendah. Lebih penting, teknologi keselamatan maju seperti autonomous emergency braking (bagi varian 1.5 Advance) kini boleh dinikmati oleh segmen kereta mampu milik. Ikuti juga ulasan video lengkap yang telah kami sediakan.