Jaguar Land Rover Malaysia telah memperkenalkan secara rasmi Land Rover Discovery L462 generasi kelima di negara kita. Ia pertama kali dipertontonkan di sini November lalu, dan kini, SUV tujuh tempat duduk, tiga baris tersebut diperkenalkan dalam satu varian Td6.
Mempunyai ukuran 4,970 mm panjang, 2,220 mm lebar, 1,846 mm tinggi dan jarak roda 2,923 mm, kenderaan ini didatangkan dalam trim HSE, sama seperti kenderaan yang dipamerkan sebelum ini.
Enjin V6 3.0 liter turbo yang digunakan pada model ini boleh menghasilkan sebanyak 258 PS pada 3,750 rpm dan 600 Nm pada antara 1,750 hingga 2,250 rpm. Enjin ini juga mempunyai pam minyak dua tahap, sistem peredaran semula gas ekzos tekanan rendah dan muncung penyuntik bahan api yang direka semula untuk lebih tindak balas dan kecekapan.
Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan ZF, seterusnya membolehkan Discovery dengan berat 2,298 kg ini memecut 0-100 km/j dalam masa 8.1 saat dan mencapai laju maksimum 209 kmj.
Antara teknologi yang dilengkapi padanya termasuk sistem Terrain Response 2, transfer box dua kelajuan, suspensi udara kawalan elektronik, adaptive cruise control, queue assist dan brek kecemasan pintar.
Kelengkapan standard pula termasuk lampu utama LED, lampu belakang hi-line, bantuan lampu tinggi automatik, sistem kawalan pendingin hawa empat zon, pedal penukar gear, sistem kamera keliling dan bumbung panoramik.
Discovery ini juga datang lengkap dengan pintu but kuasa pelbagai guna, di mana apabila dibuka, pintu sepanjang 285 mm ini boleh digunakan untuk duduk. Ia cukup kuat, hingga boleh menampung berat maksimum 300 kg.
Untuk hiburan, kenderaan ini dilengkapi dengan sistem bunyi Meridian 380 watt, dengan 10 pembesar suara, sistem Navigation Pro, alas kaki premium dan beberapa soket pengecas USB di sekitar tempat duduk baris kedua dan ketiga.
Sistem InControl Touch Pro juga ada pada Discovery ini, dan ia menawarkan akses kepada teknologi Intelligent Seat Fold, yang boleh mengubah kedudukan tempat duduk baris kedua dan ketiga secara jarak jauh menggunakan aplikasi telefon pintar sebagai tambahan kepada kawalan di bahagian belakang kenderaan dan melalui skrin sesentuh 10 inci yang ada.
Tempat duduk belakang jenis 60:40 juga datang dengan lungsuran dan larasan sandar manual. Bagi jumlah ruang simpanan yang ada, apabila semua tempat duduk tegak, hanya terdapat 258 liter, tetapi apabila dibaringkan, ia boleh mencecah sehingga 2,406 liter. Menyokong aspek keselamatan adalah lapan beg udara (hadapan, bidai dan kepala), DSC serta lima cagak ISOFIX.
Secara standard, Discovery baru ini datang bersama rim aloi 21 inci 10 cabang, tetapi masih terdapat pilihan lain iaitu rim 21 inci lima cabang berwarna kelabu gelap ataupun rim 22 inci berwarna perak berkilat.
Lapan warna luar disediakan iaitu Fuji White, Indus Silver, Silicon Silver, Aruba, Santorini Black, Farallon Black, Kairoura Stone dan Namib Orange. Untuk bahagian dalam pula, pilihan kombinasinya adalah Nimbus/Espresson, Acorn/Ebony dan Ebony. Aksesori dan barangan tambahan juga ada banyak untuk model CBU termasuk Activity Key.
Land Rover Discovery Td6 dijual pada harga RM729,800 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran. Jaminan yang diberi adalah lima tahun, bersama servis percuma dan tiga tahun untuk khidmat bantuan tepi jalan percuma. Lima pelanggan pertama yang membeli Discovery baru ini akan menerima baucar aksesori RM5,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.