Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Hujung minggu lalu, Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing telah berkunjung ke Bandar Medini, Iskandar Puteri di Johor Bahru. Festival kali ini juga turut membawa perlumbaan Vios Challenge Malaysia ke pusingan ketiga, menyaksikan persaingan makin mendebarkan.

Buat mereka yang masih lagi belum tahu berkenaan Vios Challenge ini, ia adalah perlumbaan ‘one-make’ yang dibawakan oleh Toyota Gazoo Racing menggunakan kereta produksi Toyota Vios 1.5 liter. Kesemua pasukan menerima kereta yang sama – diubahsuai oleh Wing Hin Motorsport dibawah seliaan TRD Jepun – dan mereka dilarang untuk melakukan ubahsuai tambahan kecuali talaan semula suspensi.

Jadi, walaupun kereta-kereta lumba dalam siri ini dipandang remeh kerana masih menggunakan enjin asal dan juga brek dram pada bahagian belakang, Vios Challenge sebenarnya merupakan antara perlumbaan paling teknikal, kerana kemenangan bukan bergantung kepada kemampuan kewangan, tetapi kesemua pelumba dan pasukan akan bertarung dengan pengetahuan teknikal dan strategi perlumbaan masing-masing. Anda sebagai penonton juga bakal disajikan dengan aksi sengit ‘head-to-head‘ sepanjang perlumbaan ini.

Untuk litar jalanan di Johor ini, ia menampilkan tujuh selekoh, lawan arah jam, sepanjang 1.9 km. Berbanding litar Batu Kawan Pulau Pinang dan MAEPS Serdang sebelum ini, litar Medini dibina pada jalan tiga lorong, membolehkan pelumba memecut lebh laju dan lebih ruang untuk memotong.

HARI PERTAMA – JUMAAT, 19 JANUARI 2018

Kategori Sporting

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Seperti biasa, perlumbaan hari pertama dimulakan dengan kategori Sporting. Branden Anthony dari pasukan Dream Chaser yang telah menang buat kali pertama di MAEPS sebelum ini sekali lagi menunjukkan taringnya dengan mencatatkan masa terpantas pada sesi kelayakan dan bermula pada posisi paling hadapan.

Drama untuk Perlumbaan 1 kategori Sporting ini bermula dari selekoh pertama selepas kesemua pelumba dilepaskan. Patrick Tham dari Pasukan Nanoplus yang bermula baris keempat berjaya memecut ke barisan hadapan menggunakan melalui laluan paling dalam, namun setibanya di selekoh pertama, posisi berkenaan bukanlah yang paling ideal untuk masuk ke selekoh. Dengan ruang yang sangat terhad, Patrick merempuh Brendan dan menolaknya terus ke dinding pelindung sebelah luar.

Turut terjejas dalam insiden berkenaan adalah Dato’ Ken Foo yang merempuh Patrick Tham ke dinding sebelah dalam. Ini menyebabkan pengawal perlumbaan menaikkan bendera merah, dan setiap pelumba perlu pulang ke grid untuk memulakan semula perlumbaan. Walau bagaimanapun, Tham dan seorang lagi pelumba, Clement Yeo terpaksa masuk ke pit kerana kerosakan yang teruk.

Selepas bermula semula, Brendan terpaksa membrek lebih awal pada selekoh pertama kerana keretanya mengalami sedikit masalah ketika insiden sebelumnya. Ini membolehkan Wong Chin Eeg dari Heiwa Racing Team mengambil tempat sebagai pendahulu perlumbaan dan Brendan tertinggal ke kedudukan keenam. Pelumba rali Kenneth Koh yang bermula dari petak keempat pula mengambil risiko membrek lebih lambat pada laluan paling dalam dan bergeser dengan dinding, menyebabkan sedikit kerosakan pada bampar, namun tindakannya itu membolehkan dia memintas Dato Ken Foo yang ketika itu berada pada kedudukan ketiga.

Pada lap kelima, ‘Safety Car‘ terpaksa keluar untuk memimpin kesemua pelumba selama tiga lap kerana marsyal perlu mengeluarkan kereta Goh Eng Peng yang terlibat dengan kemalangan di selekoh pertama. Kesempatan ini membolehkan pelumba merapatkan semula jurang masa antara mereka, dan setelah Safety Car masuk semula ke pit, Kenneth Koh melakukan pula serangan terhadap Brendon Lim dan kemudian berjaya memintasnya untuk merebut tempat kedua.

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Ketika ini juga Brendan Anthony mula mendapat rentaknya semula berjaya memintas Brendon Lim pada lap ke-10 dan mula memburu Kenneth Koh pula selepas itu. Pertarungan sengit antara Brendan dan Kenneth bermula pada lap ke-13, membolehlah Wong Chin Eeg menjarakkan lagi kedudukannya lebih kehadapan.

Walau bagaimanapun, Chin Eeg membuat kesilapan di selekoh keempat pada lap terakhir, membolehkan Brendan dan Kenneth kembali memburunya. Ketiga-tiga pelumba ini bertarung pada selekoh kelima dan kemudian beraksi seperti perlumbaan drag sejurus keluar dari selekoh terakhir. Pertarungan sengit ini akhirnya dimenangi oleh Chin Eeg, diikuti Brenden ditempat kedua dan Kenneth Koh terpaksa berpuas hati di tempat kelima.

Kategori Promotional

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Ini merupakan kategori yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat-peminat yang mengenakan baju seperti ‘Janna Nickers’ yang membanjiri tapak festival berkenaan kerana barisan selebriti tempatan berlumba dalam kategori ini. Seperti perlumbaan di Batu Kawan dan Maeps, artis beatbox Shawn Lee dan dramatis Syukri Yahaya terus mendominasi kategori ini tanpa tentangan lebih sengit diberikan dari pelumba lain.

Namun yang jelas, Shawn Lee memang seorang yang berbakat besar kerana walalupun beban penalti berat yang diberikan (undang-undang penalti berat untuk pemenang perlumbaan lalu ini adalah seiras dengan dengan undang-undang GT Jepun mahupun mana-mana perlumbaan touring car lain, bagi memastikan perlumbaan kekal sengit setiap pusingan tanpa didominasi seorang pelumba sahaja), masa yang dicatatkan masih lagi paling laju, malah berada pada liga yang sama dengan kategori Sporting.

Walau bagaimanapun, Diana Danielle turut menunjukkan prestasi yang agak baik kerana berjaya memintas Danny Koo untuk merebut tempat ketiga. Tambah mencabar, hujan mula turun pada sebahagian litar ketika pertengahan perlumbaan, secara tidak langsung menyukarkan corak pemanduan pelumba kerana separuh dari litar dalam keadaan basah, dan sebahagiannya lagi pula kering.

Pertarungan antara Danny dan Diana berakhir apabila kereta Diana berpusing disentuh Vios yang dipandu Danny pada selekoh hairpin, akibat Danny yang terlalu agresif dan membrek lebih lambat pada selekoh tersebut. Diana terpaksa keluar dari perlumbaan kerana kerosakan yang dihadapi, manakala Danny pula berada ditempat ketiga.

Perlumbaan berakhir dengan Shawn dan Syukri kekal pada kedudukan 1-2, dan Danny berada ditempat ketiga. Walau bagaimanapun, kedudukan podium yang diperolehi Danny telah dibatalkan kerana dia tidak masuk ke laluan pit untuk penalti sebagai ‘hukuman’ tindakannya terhadap Diana sebelum itu. Ini secara tidak langsung membolehkan Fattah Amin yang berada di tangga ke empat untuk naik ke podium.

Kategori Super Sporting

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Ini merupakan perlumbaan yang paling ditunggu-tunggu oleh ‘racing fans‘ sebenar kerana ia disertai oleh nama-nama besar seperti Tengku Djan Ley, Keifli Othman, Boy Wong, Syafiq Ali dan sebagainya.

Pemenang perlumbaan kedua di MAEPS, Mitchell Cheah dan Mark Darwin terpaksa bermula di barisan paling belakang pada perlumbaan ini akibat tidak menghadiri taklimat pelumba dan sesi latihan pada hari khamis, kerana kedua-duanya terpaksa ke Sepang untuk menghadiri sesi pemilihan pemandu. Hujan yang bermula pada kategori Promotional tadi nampaknya terus menggila apabila pelumba kategori Super Sproting ini mula keluar ke grid permulaan.

Namun hujan ini nyata membawa tuah kepada pakar hujan William Ho. Bermula dari petak pertama setelah mencatatkan masa terpantas semasa sesi kelayakan, William terus meninggalkan pelumba lain sejurus dilepaskan. Kesemua pelumba selamat melepasi selekoh pertama, tetapi pada selekoh kedua, Tengku Djan terlibat dengan insiden bersama Kenny Lee. Kemalangan ini turut melibatkan Akina Teo yang terbabas sehingga ke dinding keselamatan dan menyebabkan sebahagian laluan litar tersekat.

Insiden ini menyebabkan Safety Car keluar bagi membolehkan marsyal membersihkan kawasan kemalangan. Serentak dengan itu, hujan menjadi semakin lebat dan memerlukan Safety Car memimpin perlumbaan sehingga ke lap-11. Masuk ke lap-12, pengarah perlumbaan memutuskan perlumbaan selamat untuk diteruskan walaupun hujan masih belum berhenti.

Setelah 30 minit perlumbaan berlangsung, ia akhirnya ditamatkan pada lap ke-16, dan William Ho kekal ditempat pertama, diikuti Boy Wong dari pasukan ST Wangan, dan pelumba dari Johor Syafiq Ali, memandu untuk pasukan tuan rumah -M7 Racing Team- di tempat ketiga.

HARI KEDUA – SABTU, 20 JANUARI 2018

Kategori Sporting

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Perlumbaan kedua kategori Sporting menyaksikan tiada insiden berlaku pada selekoh pertama. Wong Chin Eeg terus memimpin perlumbaan diekori rapat Brendan Anthony di tempat kedua, meninggalkan kelompok belakang yang menyaksikan Kenneth Koh mempertahankan tempat ketiga yang ingin direbut oleh Brendon Lim.

Namun masuk ke lap kedua, serangan yang dilancarkan oleh Brenden terhadap Wong pada selekoh pertama menyaksikan takhta pendahulu perlumbaan bertukar tangan. Masuk ke lap keenam, Kelompok utama berkenaan telah pun meninggalkan Kenneth dan Brandon dengan jarak 5 saat.

Selain dari dua kelompok ini, pertarungan sengit turut berlangsung antara Clement Yeo, Shanmuganathan dan Dato’Ken Foo. Pada lap ke-sembilan Yeo cuba untuk memintas Shan pada selekoh pertama, menyebabkan sedikit pelanggaran tetapi ketiga-tiga mereka berjaya meneruskan perlumbaan dengan Yeo kini memimpin Shan dan Ken Foo. Namun Yeo kembali dipintas oleh kedua-dua saingannya itu pada selekoh hairpin berikutnya.

Dua lap kemudian, Yeo kembali membina momentumnya, tetapi ketika ini dia mula menghadapi masalah brek. Dengan kelajuan penuh pada laluan lurus utama, kereta Yeo terus menuju ke dinding penghadang selekoh pertama dan merempuh Vios yang dipandu oleh Shan. Insiden ini menyebabkan bendera kuning diangkat sehingga pelumbaan tamat dengan Brenden Anthony menjuarai perlumbaan, diikuti Wong Chin Eeg dan Kenneth Koh.

Kategori Promotional

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Persaingan untuk kategori ini masih lagi tertumpu pada Shawn Lee dan Syukri Yahaya di mana kedua-duanya terus meninggalkan pelumba lain sebaik sahaja dilepaskan. Namun kali ini, tentangan yang diberi oleh Syukri nampaknya lebih agresif dan Shawn terpaksa menerima tekanan yang begitu hebat pada lap kedua.

Safety Car keluar pada lap kelima, kali ini disebabkan kemalangan yang menimpa Janna Nick. Sebaik sahaja Safety Car masuk semula, Syukri terus melakukan serangan dan berjaya memotong Shawn pada selekoh pertama. Sejurus dipintas, Shawn tidak mengalah dan terus melakukan counter attack dan menyaksikan penguasaan Syukri hanya bertahan selama dua lap.

Sementara itu, kelompok kedua pula menyaksikan pertarungan antara Danny Koo dan Fattah Amin untuk merebut tempat ketiga. Danny berterusan mengejar Fattah tetapi sifat agresifnya telah mengundang padah pada lap kesembilan – dia membrek lambat untuk memotong Fattah dari luar di selekoh kedua, mengakibatkan keretanya understeer dan melanggar dinding keselamatan ketika keluar dari selekoh.

Insiden tersebut menyebabkan kerosakan teruk pada suspensi kanan hadapan keretanya dan tidak boleh lagi meneruskan perlumbaan. Tamat perlumbaan, keputusan masih kekal seperti perlumbaan pertama dengan Shawn Lee juara, diikuti Syukri Yahaya dan Fattah Amin.

Kategori Super Sporting

Toyota Gazoo Racing Festival 2018 pusingan JB – ‘Dogfight’ kelas pertama dari pelumba pro tempatan

Untuk kategori ‘super pro’ ini, grid untuk perlumbaan kedua ditentukan dengan menterbalikkan kedudukan pada perlumbaan pertama bagi enam pelumba di hadapan. Oleh itu, permulaan perlumbaan ini akan dipimpin oleh Keifli Othman, diikuti Tengku Djan, Kenny Lee, Syafiq Ali, Boy Wong dan William Ho – kedudukan ini memberikan lebih debaran kepada perlumbaan yang bakal berlangsung.

Tanpa sebarang penalti berat, Keifli Othman dari pasukan Laser Motor Racing terus meluru kehadapan diekori rapat Tengku Djan. Namun tindakan Boy Wong untuk memotong dari dalam telah menyebabkan kereta Tengku Djan terhimpit.

Insiden ini secara tidak langsung telah mewujudkan kelompok perlumbaan dimana kumpulan pertama menyaksikan ‘dogfight‘ antara Keifli, Tengku Djan dan Syafiq, dan kelompok kedua menyaksikan pertarungan antara William Ho dan Kenny Lee.

Tengku Djan terus melakukan serangan demi serangan terhadap Keifli tetapi tujuh lap sebelum berakhirnya perlumbaan, dia mula mengalami kerosakan brek dan mula tertinggal kebelakang. Syafiq juga menyedari masalah yang dihadapi Tengku Djan, secara terus menerus pula melakukan pelbagai serangan.

Aksi paling mengejutkan sepanjang TGR Johor terjadi pada lap terakhir kategori Super Sporting ini. Pada selekoh pertama, dengan masalah brek yang semakin ketara, Tengku Djan sudah boleh mengagak Syafiq akan memotongnya dari dalam. Oleh itu, dia terlebih dahulu berfikir untuk melakukan sesuatu untuk terus kekal di tempat kedua.

Jadi, ketika Syafiq mula untuk memotong dari dalam, Tengku Djan melakukan aksi ‘Scandinavian Flick’ dari luar untuk mengekalkan momentumnya sepanjang selekoh tersebut dan berjaya memintas semula Syafiq ketika keluar dari selekoh! Lebih malang, Syafiq yang cuba kembali mengejar Tengku Djan mengalami understeer di selekoh ketiga dan melanggar dinding penghalang, menyebabkan tayar hadapan kanannya pecah.

William Ho yang bergelut dengan penalti berat diterima setelah menang perlumbaan pertama sehari sebelum itu kemudian berjaya memotong Syafiq sebelum tiba ke garisan penamat untuk merebut podium tempat ketiga.

Walaupun hanya berlumba dengan sekumpulan Vios dengan enjin asal, Tengku Djan mengakui tujuh lap terakhir pada perlumbaan ini merupakan “tujuh lap paling panjang” sepanjang kariernya sebagai seorang pelumba. Sekiranya anda tertinggal untuk menonton tiga pusingan perlumbaan sebelum ini, anda masih lagi berpeluang untuk merasai adrenalin perlumbaan ini secara live pada pusingan akhir yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur, Mac ini.

Selain dari Vios Challenge, Festival TGR turut membawakan persembahan drift dari dua orang ikon drift D1GP Jepun iaitu ‘Drift Samurai’ Imamura Takahiro dan Kawabata Masato yang memandu dua buah Toyota 86, serta penampilan selebriti-selebriti tempatan.

GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari pertama

GALERI:Toyota Gazoo Racing 2018 Pusingan ketiga, Medini, Johor Bahru – Hari kedua

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required