Kempen Coffee Break yang dianjurkan oleh Petronas Dagangan Berhad (PDB) setiap kali pada musim perayaan menjelang, kini kembali lagi sempena Tahun Baharu Cina yang bakal disambut hujungn minggu hadapan.

Kali ini, kempen tersebut akan bermula pada 14 hingga 15 Februari 2018 dan 18 hingga 19 Februari melibatkan 141 buah stesen Petronas di seluruh Malaysia, dengan menawarkan kopi dan snek percuma untuk pelanggan yang berhenti sebentar di Petronas, sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan dan CEO PDB Dato’ Mohd Ibrahimnuddin Mohd Yunos, “Kami ingin mengingatkan semua pengguna kenderaan agar mementingkan keselamatan ketika berada di jalan raya. Kami juga mahu mereka selamat tiba di destinasi yang ditujui dan meraikan perayaan ini bersama insan yang tersayang.”

Sepanjang kempen ini juga, stesen Petronas yang terpilih akan menyediakan pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama St.John Ambulance Malaysia (SJAM) secara percuma. Malah PDB juga berbesar hati untuk menaja bahan api percuma kepada 50 buah ambulan SJAM yang ditempatkan di sepanjang lebuhraya untuk sebarang kemungkinan dan kecemasan pada musim perayaan ini.

“Sebagai sebahagian daripada acara tahunan, kempen Coffee Break ini juga akan dilaksanakan pada Hari Raya dan Festival Keamatan dan Gawai, yang biasanya merekodkan jumlah penambahan kenderaan di jalan raya. Dalam memainkan peranan ini, kami berharap pelanggan kami tidak penat untuk meneruskan perjalanan menerusi kempen yang mengutamakan aspek keselamatan ini,” kata Ibrahimnuddin lagi.

Turut memberi sokongan bagi kempen ini termasuklah Nestle Products Sdn.Bhdm Delfi Marketing Sdn Bhd. Julie’s Marketing Sdn Bhd, Mondelez Malaysia Sales Sdn Bhd, Munchworld Marketing Sdn dan Suntory Beverage & Food Malaysia Sdn Bhd. Dua lagi rakan niaga yang turut serta pada tahun ini ialah Shope Mobile Malaysia Sdn Bhd dan Dunkin’ Donuts.