Seperti yang diumum sebelum ini, pelumba negara, Zulfahmi Khairuddin akan berlumba dalam kategori Moto2 tahun ini, mengisi tempat yang telah dikosongkan oleh Hafizh Syahrin. Walaupun ini adalah kali pertama Zulfahmi akan menggunakan jentera Kalex Moto2, selepas ujian di Valencia, beliau kini sudah bersedia.

Walapun sesi di Valencia dipendekkan kerana cuaca buruk, Zulfahmi sekura-kurangnya masih dapat merasa motosikal tersebut secara keseluruhannya selama 70 minit, dan minggu ini, satu lagi ujian akan dilakukan di Litar Antarabangsa Sepang.

“Ujian pertama sudah selesai, dan kami berjaya melakukan pelarasan motosikal untuk Zulfahmi. Dia juga gembira dengan posisi serta cara motosikal ini, jadi ia adalah sesuatu yang baik. Kami ada banyak lagi tugas; dia perlu berusaha lebih keras; kamu pula perlu menyesuaikan diri dengan cara beliau,” kata pengurus pasukan Johan Stigefelt.

“Tanggapan pertama saya tentang jentera Moto2 ini adalah ia sangat ringan dan mempunyai kuasa enjin yang bagus. Perkara paling sukar pula adalah untuk menyesuaikan diri dengan tayar; kami sedang melaras engine braking supaya dapat rasa selesa apabila membrek kuat dan masuk ke selekoh dengan rasa yang bagus,” kata Zulfahmi.