Setelah sembilan-tahun menjual model yang dijana enjin diesel, pembuat kereta sport dari Jerman, Porsche mengambil keputusan untuk menggugurkan kesemua model yang dijana bahan bakar berkenaan. Menurut laporan Autocar, keputusan ini diambil kerana permintaan pelanggan yang mula berubah serta ujian pencemaran udara yang kini semakin ketat.

Oleh itu, dua model diesel yang kini berada dalam bilik-bilik pameran Porsche – Macan S Diesel dan Panamera 4S Diesel – akan dihentikan produksinya serta merta. Menurut Porsche, pelanggan kini lebih mahukan kenderaan yang dijana enjin petrol dan juga model yang diberikan unit janakuasa hibrid.

Mengikut rekod, Panamera 4S Diesel hanya dijual sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan 11,000 unit Panamera yang dijual di seluruh dunia pada tahun 2017. Model Petrol pula dijual sebanyak 35%, manakala Panamera 4 E-Hybrid berjaya dijual sebanyak 50% dari angka berkenaan.

Namun menurut sumber yang memberitahu Autocar, langkah ini bukan bermaksud Porsche akan menghentikan penghasilan model diesel buat selama-lamanya. CEO Porsche Oliver Blume juga pernah memberitahu portal berkenaan bahawa “diesel tidak terlalu penting untuk Porsche,” dan menjelaskan jualan model diesel hanya ditumpukan di Eropah dan hanya dijual sebanyak 15% dari jumlah jualan global.

Porsche kini secara jelas sedang membangunkan unit janakuasa bersama teknologi elektrik dengan kemunculan Mission E yang dijangka pada tahun hadapan. Kereta sport ikonik Porsche 911 juga dikatakan akan diberikan sistem hibrid untuk model 2019 kelak.