Toyota Supra generasi kelima – Ketua jurutera Tetsuya Tada beri penjelasan mengapa ia dibina bersama BMW

Anda kenal Tetsuya Tada? Beliau adalah ketua jurutera Toyota yang bertanggungjawab mengetuai pembangunan jelmaan semula Toyota Levin/Sprinter Trueno AE86 iaitu Toyota 86 baharu. Umum mengetahui, Toyota juga telah mendedahkan model konsep Toyota Supra generasi kelima di Geneva Motor Show 2018 sebagai sebuah jentera perlumbaan konsep – ini juga merupakan projek yang dikendalikan oleh Tada.

Menerusi laporan dari Drive, Tada mendedahkan sendiri cerita disebalik pembikinan Supra generasi baharu berkenaan selepas pendedahannya di Geneva. Beliau sendiri telah mengesahkan projek ini sebenarnya telah bermula pada tahun 2012.

Untuk lebih spesifik, ia bermula dengan satu mesyuarat rahsia yang diadakan di Jerman semasa pelancaran Toyota 86 di Eropah. Ketika itu, BMW sedang mencari rakan kerjasama strategik bagi berkongsi kos untuk membangunkan kereta sport generasi baharu mereka, dan dalam masa yang sama presiden Toyota, Akio Toyoda, ketika itu sedang cuba untuk mengembalikan jenama syarikatnya seperti era 90’an – yang penuh dengan barisan kereta sport.

Pada mulanya Tada beranggapan projek ini sama seperti Toyota 86 dan Subaru BR-Z, di mana kedua-duanya kelihatan hampir serupa serta prestasi pemanduan juga yang hampir sama. Namun BMW mensyaratkan untuk kerjasama ini walaupun kedua-dua kereta sport berkenaan dibina dengan platform dan enjin yang sama, kerekter antara mereka perlu berbeza sejak hari pertama pembangunannya.

Toyota Supra generasi kelima – Ketua jurutera Tetsuya Tada beri penjelasan mengapa ia dibina bersama BMW

Tada kemudiannya pulang ke Jepun dan memberitahu pihak pengurusan bahawa kerjasama dengan BMW ini adalah tidak mustahil untuk dilakukan, dan ini merupakan “peluang yang sempurna” untuk membawa semula Supra kepasaran kerana platform baharu berkenaan menampilkan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR) dan ia dijana enjin enam-silinder sebaris – ia sememangnya ‘sifat’ Supra dari generasi pertama MA47 hingga keempat JZA80.

“Seperti yang anda tahu ini ialah Supra generasi kelima. Ia ada satu konsistensi – enjin enam-silinder sebaris telah dipadankan pada kesemua generasinya,” kata Tada dan menambah, “elemen penting lain ialah konfigurasi [enjin hadapan, pacuan belakang]. Kedua-dua elemen ini perlu kekal pada model baharu.”

Untuk mendapatkan rakan strategik tetapi dalam masa yang sama masih mengekalkan sifat sebuah Supra sebenar bukan perkara mudah, dan ini menyebabkan Supra generasi baharu agak lewat untuk muncul bagi menggantikan model sebelumnya. Oleh itu, Tada yang telah menerima banyak tunjuk ajar berkenaan pembangunan dan dinamik jentera sport FR dari mentornya, Isao Tsuzuki (ketua jurutera pembangunan Toyota Supra generasi keempat) memohon maaf kepada peminat yang terpaksa menunggu dalam masa yang begitu lama.

“Kami harap kami dapat bawa Supra generasi baharu lebih awal,” katanya. “Kami mahu meminta maaf kepada [peminat] yang terpaksa menunggu begitu lama. Sudah 15 tahun, saya memohon maaf untuk itu,” tambahnya lagi.

Namun setakat ini Toyota masih lagi belum mengumumkan spesifikasi teknikal rasmi berkenaan model produksi sebenar Supra generasi kelima berkenaan. Menerusi laporan-laporan sebelum ini, Supra dikatakan akan dijana enjin petrol turbo enam-silinder dari BMW, dan tiada kotak gear manual ditawarkan – berkemungkinan digandingkan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dari ZF atau kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan.

Tada juga ada menyebut bahawa model generasi baharu ini tidak bersifat seperti JZA80 yang dikenali sebagai ‘pemusnah supercar di laluan lurus’, tetapi ia akan dibina lebih fokus kepada dinamik pengendalian. Ia juga dikatakan bakal menampilkan nisbah berat hadapan dan belakang sempurna 50:50 dan mempunyai titik graviti lebih rendah dari Toyota 86 yang menggunakan enjin boxer empat-silinder.


Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.