PANDU UJI: Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

Honda Vezel (atau dikenali sebagai HR-V di Malaysia) juga menjadi antara crossover terkenal di negara asalnya, Jepun. Pada Februari lalu, Honda telah pun memperkenalkan Vezel 2018 di sana. Barisan model baharu ini dilengkapi dengan Honda Sensing bagi semua varian. Ia juga masih mengekalkan dua pilihan enjin 1.5 iaitu petrol dan Sports Hybrid i-DCD (yang berkongsi dengan Jazz dan City).

Beberapa bulan lepas (harap ulasan ni belum terlewat untuk dikongsikan), kami telah diterbangkan ke Negara Matahari Terbit itu oleh Honda Malaysia dan berpeluang memandu uji beberapa model Honda di sana. Malahan, ini adalah kali pertama Honda Jepun mengaturkan sesi khusus bagi media dari negara luar untuk memandu uji di negara berkenaan, sekaligus merupakan satu penghormatan bagi Honda Malaysia.

Saya bersama rakan setugas, Anthony Lim telah memilih untuk menguji Vezel Hybrid RS dan memandunya secara bergilir-gilir dengan jarak pemanduan pergi-balik menghampiri 1,000 km. Bagaimana pun, kami bukan memandu Vezel versi terbaharu, sebaliknya model terdahulu bagi Vezel Hybrid RS.

Pasaran Jepun memang cukup untung kerana menerima pelbagai pilihan dan variasi kenderaan yang menarik. Umum sedia maklum Jepun antara pengeluar kenderaan terbesar di dunia, jadi pastinya pasaran domestik di sana sememangnya cukup meluas. Itu jawapan yang kerap saya berikan bila mana menerima pertanyaan mengapa ada model itu, ini yang tak sampai di negara kita.

PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

Jika di Malaysia, buat masa ini hanya satu saja varian enjin bagi Vezel atau lebih dikenali di sini sebagai HR-V iaitu 1.8L petrol. Tetapi jangan galau, Honda Malaysia sudah memberikan bayangan, bakal memperkenalkan dua model baharu tahun ini, dan salah satunya kemungkinan besar adalah HR-V facelift (tetapi tidak dipastikan adakan varian hibrid juga akan diperkenalkan…namun tak mustahil!).

Jadi sebelum ada rezeki pasaran kita menerima kehadiran enjin hibrid untuk HR-V, baca terlebih dahulu ulasan ini. Mana tahu, ia mampu membakar semangat anda untuk sabar menunggu dengan segunung harapan sementara menantikan kehadirannya kelak.

Dengan enjin 1.5 liter Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive), Vezel Hybrid RS ini mampu menghamburkan kuasa sekitar 130 hp dan terjahan tork 156 Nm, yang dibantu oleh motor elektrik dengan output tambahan sebanyak 30 hp dan tork 160 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik tujuh-kelajuan yang menyalurkan kuasanya ke roda hadapan.

Apabila kenderaan baru bergerak, mod elektriknya berjalan sepenuhnya, dan apabila kelajuan dipertingkatkan, barulah unit petrol mengambil alih peranan sepenuhnya. Malahan ketika kenderaan berhenti seketika di lampu isyarat, enjin petrolnya memang senyap langsung kerana ia hampir tidak berfungsi. Tetapi jangan risau, pendingin hawa masih berfungsi seperti biasa.

Enjin ini ternyata tidak kedekut untuk menyalurkan prestasi yang dikehendaki, tidak kira apa jua keadaan jalan. Malahan pengendaliannya juga jauh lebih menyeronokkan jika hendak berbanding HR-V 1.8 versi Malaysia. Tujahan kuasanya juga sangat baik apabila pedal pendikit dikerah. Dengan bantuan motor elektrik, penjana kuasa ini dirasa lebih berkuasa berbanding versi petrol biasa.

PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

Apabila kenderaan dalam kelajuan sederhana, ada masanya enjin petrol terdorong bertukar dengan mod elektrik sepenuhnya. Ia akan disedari apabila enjin menjadi senyap secara tiba-tiba dan lampu EV pada papan instrumen menyala dan jika anda memilih paparan status kuasa pada sebelah kanan, ia akan menunjukkan hanya bateri mengalirkan kuasa ke roda.

Untuk pemanduan yang lebih agresif, pilih sahaja mod Sport dan pastinya ia mampu meledakkan lagi adrenalin anda. Nah, enjin Sport Hybrid i-DCD ini memang mampu membuatkan anda tersenyum, dalam masa yang pantas, ia mampu mengubah karakteristik pemanduan menjadi lebih lasak.

Malah transmisinya juga dirasakan sangat lancar, pantas dan mampu menyalurkan pacuan secara berterusan. Sangat jauh lebih baik berbanding dengan CVT biasa yang digandingkan pada HR-V.

Kombinasi transmisi dwi-klac dengan motor elektriknya boleh dirasakan agak sempurna, penghantaran tork yang lebih optimum dengan pengkadaran berat yang seimbang membuatkan varian ini cekap memberikan prestasi yang diingini.

PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

Malah sistem suspensinya juga seperti mampu menyerap hentakan dengan baik walau pun ketika melalui speed bump. Untungnya jalanraya di Jepun memang jauh lebih berkualiti dan sukar untuk terjumpa lubang melainkan jalan yang sedang dalam pembaikian itupun sangat jarang-jarang dijumpai.

Ketika mengendalinya merentasi laluan berbukit dan berliku di Mount Hakone, seronok bermain dengan roda stereng, pedal pendikit dan brek, juga tidak ketinggalan mod Sport kerana gandingan komponen itu dirasa seiring sejalan dan amat pantas memahami karakter pemanduan yang mencabar.

Satu lagi kelebihan yang ada pada Vezel Hybrid RS ini, ia turut dilengkapi dengan Honda Sensing (yang sama seperti mana yang ada pada CR-V dan Accord di negara kita).

Elemen keselamatan yang ada dalam pakej Honda Sensing ini termasuklah Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist System, Road Departure Mitigation, Adaptive Cruise Control, Forward Collision Warning dan Collision Mitigation Braking System (CMBS). Di mana kesemua elemen terbabit sangat membantu pemanduan dan pengendalian dari aspek keselamatan. Bahkan ia mampu membuatkan kita lebih peka apabila ada isyarat yang dihantar atau bertindak pada situasi tertentu apabila diperlukan.

PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

Mula-mula tertanya juga, mana letaknya bateri hibrid bagi model ini? Selalunya di bawah tempat duduk belakang. Rupanya bateri tersebut terletak di bawah lantai but, sekaligus membuatkan ruang tersebut lebih kecil berbanding HR-V biasa. Bukan itu sahaja, ia juga membuatkan tiada ruang bagi tayar simpanan, jadi hanya disediakan kit membaiki tayar sahaja sekiranya berlaku tayar pancit.

Untuk imej luaran yang ditampilkan, tidak banyak bezanya dengan HR-V kita. Hanya sedikit perbezaan termasuklah lampu utama LED menjadi pilihan berbanding unit mentol halogen biasa bagi HR-V kita, begitu juga dengan lampu belakang LED. Dan memandangkan model pandu uji ini adalah varian RS, maka elemen sporty ditampilkan dengan penambahan kekemasan warna hitam termasuk pada skirt sisi, dan spoiler lips. Begitu juga dengan gril atas bersama paten sarang lebah, lampu kabus LED, roda aluminium 18-inci dan perumah cermin sisi berwarna hitam.

Di dalamnya, kelihatan ciri pada paparan instrumen saling tak tumpah dengan model City 1.5L Sport Hybrid i-DCD di negara kita. Meter kelajuan utama terletak di bahagian tengah manakala meter rpm pada sebelah kiri telah digantikan dengan paparan informasi bateri hibrid, kedudukan gear, serta paparan informasi kecil lain.

Manakala pada sebelah kanan pula, paparan informasi digital berwarna diberikan bagi memberikan maklumat seperti status aliran tenaga (enjin petrol, cas bateri, bantuan motor elektrik kepada enjin, mahupun bergerak dengan elektrik sepenuhnya), kadar penggunaan bahan api dan juga lain-lain.

Meter rpm turut dijadikan sebahagian paparan digital berkenaan – anda perlu memilihnya dengan butang pilihan pada bahagian bawah kanan roda stereng (hanya ada pada model hibrid), dan ia juga akan terpampang secara automatik sekiranya anda memilih mod Sport.

Malah tombol gearnya juga sama, iaitu berbentuk empat segi dan jauh lebih pendek dari biasa. Corak penukaran gear model hibrid ini juga berbeza di mana anda perlu tolak ke kanan-belakang untuk ‘D’ dan ke kanan-hadapan untuk ‘R’. Untuk menuetralkan gear, tombol perlu ditolak ke kanan dan kekal lebih kurang satu saat, manakala untuk ‘P’ pula anda hanya perlu menekan butang di sebelah kanan.

Gear rendah atau ‘L’ (Low) turut disediakan – anda perlu tolak tombol ke kiri-belakang, dan kemudian gear rendah akan ditahan lebih lama untuk memudahkan pemanduan semasa menaiki bukit, dan menyediakan ‘engine braking‘ yang secukupnya ketika menuruni bukit. Mod ‘S’ juga diberikan bagi memberikan corak tukaran gear yang lebih sporty (juga menahan gear pada setiap kedudukan lebih lama), dan anda hanya perlu menekan butang yang terletak di atas butang ‘P’.

Agak sedikit janggal pada mulanya untuk membiasakan diri menggunakan tombol gear ini. Tetapi sebenarnya ia agak praktikal dan mudah untuk dikendalikan.

PANDU UJI:  Honda Vezel a.k.a HR-V 1.5L Sport Hybrid i-DCD di Jepun – adakah ia berbaloi untuk Malaysia?

Lain-lain ciri yang ditampilkan termasuklah pedal penukar gear di belakang stereng, butang push start, pendingin hawa automatic dan papan pemuka dengan material lembut suede yang menampilkan ciri sedikit mewah.

Seperti mana yang dikatakan awal tadi, tahun ini Honda Malaysia bakal memperkenalkan dua lagi model baharu untuk pasaran Malaysia. Salah satunya kami menjangkakan ia adalah HR-V facelift yang mungkin termasuk versi hibrid dengan enjin Sport Hybrid i-DCD seperti Jazz dan City varian hibrid. Memandangkan HR-V sangat diterima baik di sini, jadi dengan penawaran varian tambahan seperti ini, pastinya ia mampu melonjakkan lagi jualan Honda Malaysia. Malahan memberikan variasi kepada para pelanggan di negara ini.

Bagaimana dengan harganya? Mungkin ia akan ditawarkan dengan harga yang rendah sedikit daripada varian tertinggi HR-V 1.8L yang berharga RM117,430. Pendapat saya, jika varian ini ditawarkan di sini, ia memang berbaloi untuk dimiliki. Bukan sahaja kerana ia memang syok dikendalikan, bahkan ia juga pasti memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.

Baru-baru ini, foto spyshot HR-V baharu dikesan di Malaysia, tetapi tidak dipastikan ia adalah model facelift bagi enjin 1.8L atau pun Honda Malaysia juga akan memperkenalkan varian hibrid dan mengulangi trik yang sama seperti mana ketika mereka menguji Jazz Sport Hybrid i-DCD dahulu, dengan menggunakan badan Jazz petrol biasa. Apa pun, kenalah tunggu dan lihat ya!

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required