Data jualan kenderaan di Malaysia untuk bulan Februari baru sahaja dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), dan di sini kami ada pecahannya mengikut jenama. Secara keseluruhannya, 40,578 buah kenderaan dijual pada bulan Februari 2018, dan ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 9% berbanding bulan Januari 2018.

Daripada jumlah keseluruhan yang menurun ini, hampir semua jenama juga mencatat jualan yang berkurangan daripada bulan Januari. Mengambil contoh 10 jenama yang mencatat jualan tertinggi bagi bulan Februari ini, hanya Toyota sahaja yang menunjukkan peningkatan 11.1%, dengan penjualan sebanyak 3,961 unit.

Berada di tempat pertama bagi jumlah jualan kenderaan bulan Februari 2018 adalah Perodua dengan catatan 17,137 unit, tetapi masih menurun sebanyak 3.1% berbanding bulan Januari. Ia kemudiannya diikuti Honda dengan 6,998 unit (-14.0%), Toyota, Proton 3,857 unit (-19.4%) dan Nissan 1,302 unit (-35.2%).

Mercedes-Benz walaupun adalah jenama kenderaan mewah berjaya menduduki tempat keenam dengan jualan 1,212 unit (-0.4%) manakala pesaing terdekatnya, BMW berada selang satu tangga di bawah dengan jualan 815 unit kenderaan (-3.0%). Di antara keduanya terdapat Mazda yang berjaya menjual 1,014 buah kenderaan (-22.0%).

Selain Toyota, jenama lain yang menunjukkan peningkatan jualan adalah Ford sebanyak 9.1% (468 unit), Kia 19.9% (362 unit), Lexus 110% (42 unit), Porsche 28.1% (41 unit) dan Audi 33.3% (20 unit).