Kini bukan lagi rahsia; selepas agak lama menyepi dari memperkenalkan model baru untuk pasaran tempatan, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Sdn Bhd bakal memperkenalkan MPV Nissan Serena 2.0L S-Hybrid 2018.
Selepas pernah dilihat sedang diuji di jalan raya Malaysia, serta dipertontonkan di Bagan Datok, Perak beberapa minggu lalu dan kemudiannya dibuka untuk tempahan, kini MPV ini dipertontonkan secara rasmi buat pertama kali kepada wakil media.
ETCM turut mengumumkan MPV ini turut akan ditawarkan di dalam varian Premium Highway Star sebagai tambahan kepada varian Highway Star biasa, dengan harga anggaran masing-masing ialah di bawah RM155k dan di bawah RM140k.
Bagi membezakan varian Premium Highway Star daripada model asas, antara tambahan ciri yang ditawarkan padanya ialah warna luaran dwi-tona dan senarai kelengkapan eksklusif untuk varian ini. Tiga pilihan warna dwi-tona disediakan – Imperial Umber (bumbung)/Cashmere Gold (badan), Diamond Black (bumbung)/Tungsten Silver (badan) dan Diamond Black (bumbung)/Brilliant White (badan).
Di dalam, ia hadir dengan tempat duduk material gabungan kulit dengan dua pilihan warna – dwi-tona Truffle Brown/Chesnut atau dalam warna hitam sepenuhnya. Kelengkapan lain yang ada termasuk panel LCD 10.1-inci pada bumbung, Tech-On Tray Mat, perakam video DVR, lampu kabin LED, rim aloi 16-inci, visor pintu, filem keselamatan V-Kool 4Mil dan body coating ThreeBond Ultra Glass.
Secara umumnya, MPV ini menggunakan penjana kuasa yang sama seperti C26 Serena, dengan enjin MR20DD 2.0 liter suntikan-terus CVTC-berkembar empat-silinder petrol yang menawarkan 150 PS pada 6,000 rpm dan 200 Nm pada 4,400 rpm.
Unit ini turut dipadankan dengan transmisi Xtronic CVT, yang ditambah dengan motor ECO (1.9 kW) untuk mengawal fungsi Idling Stop dan berfungsi juga sebagai pengganti semasa nyah-pecutan. Ia juga mempunyai 48 Nm tork tambahan.
Tahap penggunaan minyak yang dicatatkan oleh model ini pula ialah 14.2 km/l (kitaran NEDC). Ini memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 13% berbanding yang sebelumnya.
Untuk keselesaan penumpang, ruang kabinnya juga menerima keluasan tambahan – lebar ruang dalamnya ditambah sebanyak 65 mm, manakala panjang ruang berkenaan pula ditambah 180 mm berbanding versi sebelum ini. Barisan kedua juga menggunakan “captain seat” dengan dua perehat lengan.
Ciri-ciri menarik lain yang ada pada model ini adalah seperti tujuh slot USB untuk mengecas peranti elektronik setiap penumpang, pintu belakang yang mempunyai dua bahagian untuk bukaan, Intelligent Key dengan fungsi Push/Start serta paparan audio Clarion 6.75-inci dengan enam pembesar suara.
Antara pembaharuan yang diberikan pada model baru Serena S-Hybrid ini termasuk kabin yang lebih senyap, nisbah steering rack yang ditingkatkan (untuk maklum balas yang lebih cepat) serta variable assist pada stereng kuasa elektriknya agar menjadi lebih ringan ketika kelajuan rendah dan menjadi lebih berat ketika kelajuan ditingkatkan.
Selain itu, mounting suspensi depan dan belakang juga dikeraskan, disertakan dengan injap prestasi tiggi di dalam penyerap hentak, menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa.
Kelengkapan standard yang ada bagi MPV tujuh-tempat duduk ini (dengan 13 konfigurasi berbeza) termasuk pintu gelungsur dwi-kuasa, Paparan Pandangan Sekeliling 360-sudut (I-AVM) dengan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD). Kelengkapan keselamatan yang tersedia termasuklah kawalan dinamik kenderaan (VDC), ABS dan EBD, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman (TCS) enam beg udara dan dua cagak Isofix.
Nissan Serena S-Hybrid 2018 Highway Star
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.