Awal Mei lalu, Saharuddin Busri, yang kerja-kerjanya kerap kami paparkan di laman ini telah menunjukkan hasil rekaan digital bagi model Proton Perdana Executive. Mengambil asas sama dari model Perdana yang ada dijual ketika ini, penampilan pada rekaan konsep itu diberikan serba sedikit sentuhan baru.

Sebagai bekas pereka yang terlibat dengan proses-proses awal rekaan beberapa model Proton dahulu, beliau dengan jelas menjadikan jenama itu sebagai tumpuan utama untuk melahirkan karya-karya baru, walaupun sekadar imej bayangan dalam melayani kreativiti dan membayangkan penambah baikan yang boleh dilakukan terhadap model-model sedia ada Proton.

Terbaru, kini ada pula rekaan konsep Proton Perdana FL, yang menampilkan rekaan bahagian depan yang lebih agresif, sebaga sebuah teaser kepada rekaan penuh yang sedang diusahakan. Apa yang dapat dilihat, Perdana FL 2018 ini diberikan imej yang lebih garang.

Rekaan bampar depan sama sekali berlainan daripada versi eksekutifnya, dengan saiz yang lebih besar dan elemen bukaan atau terusan udara yang lebih luas. Rekaan gril pula walaupun masih menggunakan ruangan yang berbentuk serupa, palang krom yang ada kini terdiri daripada dua jalur atas dan bawah, menjadikannnya lebih menonjol. Lengkung pada hud juga lebuh maskulin, dan menjadikan wajah depan rekaan ini lebih “berotot”.

Dari bahagian sisi juga ada kelainan. Garis badan yang lebih lurus, dengan elemen liang udara di bawah A-pillar serta cermin sisi yang lebih sporty menyuntik kelainan berbanding rekaan versi eksekutif yang dihasilkannya sebelum ini.

Satu lagi yang menarik perhatian ialah rekaan rim yang digunakan; lebih besar dengan berselang seli antara jejari berkembar dan jejari tunggal. Anda suka dengan pendekatan rekaan ini? Kongsi pandangan anda diruang komen.