Masih ingat dengan rekaan konsep digital Proton Perdana Executive yang kami tampilkan sebelum ini? Kalau belum tengok, jangan risau; ini ada siri render dan gambar digital terbaru model berkenaan yang dihasilkan oleh Saharuddin Busri, nama yang tak perlu kami perkenalkan lagi.

Memang, ini bukanlah rekaan rasmi dari Proton, tetapi sangat menarik untuk melihat kreativiti yang dihasilkan oleh individu yang suatu ketika dahulu pernah terlibat sama dalam syarikat itu untuk menghasilkan rekabentuk cadangan bagi banyak model Proton sebelum ini.

Beliau yang sebelum ini kerap hadir dengan teaser dari rekaan terbaru yang dibayangkan olehnya. Selepas Proton Savvy 18 dan juga Proton Suprima yang dibayangkan semula (masih ingat Suprima X dan Suprima R?); bagi rekaan automotif dan kenderaan, ini merupakan hasil kerja terbarunya.

Menurut beliau, sejarah berkaitan rekaan Proton Perdana Executive ini sudah bermula sejak empat tahun lalu, ketika beliau terlibat sama di dalam pembangunan konsep model Perdana terkini yang menggunakan asas dari Honda Accord seperti yang kita lihat sekarang.

Dari imej digital yang terhasil ini, dapat dilihat bahawa Saharuddin melakukan banyak juga perubahan kepada rekaan asal itu, antara yang paling utama ialah rekaan pada bahagian depan dan juga bahagian belakang. Seperkara lagi, jarak untuk bahagian penumpang belakang turut ditambah sebanyak 200 mm (pintu belakang yang lebih panjang).

Di depan, melihat imej potongan bahagian lampu utama yang dihadirkan akan mengingatkan kita kepada Mitsubishi Lancer, dengan rekaan lampu dan “muncung” depan Perdana ini yang seperti mengambil inspirasi dari model berkenaan. Lampu utama juga hadir dengan dua jalur lampu LED yang bertindak sebagai DRL (juga seperti meminjam inspirasi rekaan lampu Thor’s Hammer dari Volvo).

Selain itu, turut dapat dilihat ialah sebahagian rekabentuk gril – yang terbahagi kepada dua ruang – serta kemasan-kemasan krom/satin yang turut menghiasi bahagian depan berkenaan. Kemasan krom yang sama turut dilanjutkan ke bahagian bamparnya.

Bahagian belakang pula menampilkan visual yang lebih sporty dan elegan. Rekaan lampu LED yang digunakan lebih jelas kelihatan, dengan jalur tengahnya menyambungkan dua lampu belakang yang berada di sisi kiri dan kanan. Mudah dilihat, dan dalam masa yang sama ia menyuntik estetika rekaan yang sangat menarik bagi rekaan yang dihasilkan.

Satu lagi jalur kemasan krom turut disertakan di bawah lampu melintang yang sama. Selain itu, lengkuk spoiler yang bersekali dengan bahagian belakang kereta ini juga menjadikan penampilannya lebih garang, tetapi tidak keterlaluan. Ini diikuti rekaan bampar yang kelihatan mempunyai garis yang berperingkat untuk menampakkannya lebih solid.

Jika anda tertanya-tanya seperti apa rupa rekaan asal yang dicadangkan untuk Proton Perdana ini empat tahun lepas, anda boleh rujuk gambar yang menampilkan sebuah kereta putih di dalam galeri yang disediakan. Anda rasa mana satu yang lebih menarik, Proton Perdana yang ada sekarang atau rekaan digital yang dihasilkan Saharuddin ini?