Ketika ini, tentunya kita sudah biasa dengan kerja-kerja rekaan digital yang dihasilkan oleh Saharudin Busri yang bertugas di Pusat Rekaan MIMOS. Sekadar mengingat kembali, beliau pernah mengasilkan beberapa rekaan model-model Proton yang dibayangkan semula, seperti Suprima X dan Suprima R.

Terbaru, beliau menghasilkan pula rekaan konsep bagi semua model kompak Proton yang unik sebelum ini, Proton Savvy Concept. Dan, model Savvy bukanlah terlalu asing buat beliau; ketika model berkenaan dibangunkan kira-kira 15 tahun lalu, Saharudin bertindak selaku ketua pereka untuk model berkenaan ketika itu.

Jadi, rekaan konsep yang sedang kita tatap ini bolehlah dianggap sebagai kesinambungan kepada rekaan lama yang pernah dihasilkan dulu. Paling penting, rekaan ini merupakan imajinasi terbaru pereka asalnya terhadap bagaimana model Savvy perlu hadir di masa akan datang.

Pendekatan rekaan konsep terbaru ini cuba membawa imej “Sporty & Sexy” pada Savvy, yang sejak dulu memang disasarkan untuk pengguna muda-mudi dari generasi baru kini – ia dihasilkan agar mampu melengkapi unsur kepantasan dan gaya ranggi yang tersendiri.

Beliau menamakan rekaan ini Savvy 18; dengan harapan Proton akan dapat kembali seperti pada zaman kegemilangannya pada tahun 2018 dengan kerjasama Geely. Ia semacam satu tribute dan sekaligus sebagai sebuah harapan beliau kepada jenama Proton.

Rekaan konsep ini masih mengekalkan identiti dan unsur-unsur utama yang ada pada Savvy asal dahulu yang kemudiannya diterapkan dengan pendekataan rekaan yang lebih segar dan baru. Bentuk V yang ada pada bahagian logo hadapan dan belakang rekaan ini adalah karektor utama Savvy yang masih dikekalkan. Garis bahagian sisinya pula memberikan penampilan yang lebih tajam dan sporty yang diingini.

Satu lagi unsur penting Savvy yang masih ditampilkan pada rekaan ini ialah sambungan garis yang bermula dari bahagian hud depan yang menyambungkan garis krom di depan dengan kemasan krom pada bahu sisi kereta ini. Dan, tak lupa juga kedudukan ekzos yang berada ditengah – semua ini ada pada rekaan asal Savvy lama.

Sentuhan baru yang diberikan pula ialah seperti pada bahagian A-pillar krom dengan rekaan ala cabriolet untuk mendapatkan garis bumbung coupe – lebih mewah dan bergaya. Untuk bahagian depan, lampu-lampunya disorok sedikit; lampu utama yang nipis tak jauh dari ruang masukan udara sisi, dengan lampu DRL yang bersambung dengan kemasan garis krom antara menjadi kelainan utama. Lampu belakang pula menggunakan elemen sports car – nampak macam 3D dan lebih moden.

Imej keseluruhannya adalah ringkas dan bersih, dengan warna dua tona antara badan kereta dan bumbungnya untuk menyuntik imej sporty. Nampak meyakinkan atau sebaliknya? Kalau anda ada apa-apa pandangan, sila kongsikan.