Jika sebelum ini kami paparkan sebuah artikel berkaitan rekaan konsep yang dikenali dengan nama Suprima X, yang dihasilkan oleh Saharudin Busri yang bertugas di Pusat Rekaan MIMOS, itu bukanlah satu-satunya rekaan model yang beliau bayangkan semula, dari model asas Suprima S.

Model hatchback yang dikeluarkan Proton itu sangat dekat dengan dirinya; beliau sendiri memandu model berkenaan. Ada sebuah lagi rekaan digital yang diasaskan dari model sama, yang kemudiannya diberikan penelitian yang lebih halus. Jika Suprima X dibayangkan sebagai sebuah kenderaan crossover, ini ditampilkan pula rekaan Suprima R.

Ia masih kekal dalam reka bentuk sebuah hatchback seperti sedia ada, tetapi di dalam penampilan yang lebih agresif dan sporty. Mengapa Suprima S yang dipilih sebagai model asas kepada konsep rekaan yang dihasilkan ini? “Bagi saya, dari sudut rekaan, Suprima S mempunyai penampilan yang matang. Dan, dari situ, banyak lagi sentuhan yang boleh diberikan untuk menjadikannya lebih menarik,” ujar beliau.

Sama juga seperti Suprima X, Suprima R ini bukan sebuah rekaan yang baru dihasilkan. Ia mula memperoleh “rupa” sedemikian sejak 2015 lagi, yang kemudian diperhalusi sehinggalah ke tahap yang dapat kita lihat sekarang.

Mendapatkan pendidikan rekaan automotif di Universiti Coventry, UK, beliau sejak awal lagi memang sangat berminat dengan rekaan kenderaan, dan telah terlibat di dalam penghasilan rekaan bagi banyak model-model Proton sejak tahun 2000 hingga 2007. Antaranya Satria Neo dan Saga BLM, selain terlibat sebagai pereka luar sambilan di peringkat awal rekaan model Proton Perdana yang ada kini.

Apa tujuan rekaan-rekaan ini didedahkan sekarang? “Antaranya ialah untuk mempamerkan kemampuan MIMOS dalam menghasilkan rekaan bagi industri automotif, dan kami juga sangat berminat untuk menawarkan kepakaran yang kami kepada industri,” jelasnya. Bergerak ke hadapan, MIMOS ingin menyediakan khidmat rekaan yang menjadi kepakaran organisasi itu, termasuk dalam bidang automotif dan bukan lagi bergantung semata-mata kepada geran penyelidikan yang diberikan.

Menghasilkan rekaan industri bukanlah sesuatu yang asing bagi MIMOS. Banyak yang telah dibuat, misalnya rekaan telefon mudah alih serta komputer riba. Ada juga antaranya yang sempat meraih pengiktirafan dari Red Dot Design Award – pasukan pereka ini juga pernah disenaraikan ditempat ketiga bagi kategori World Most Innovative Design Studio.

Sebagai peminat Proton Suprima S, beliau membayangkan sisi yang lebih garang bagi rekaan yang dihasilkan ini. Secara umum, ia masih mengekalkan reka bentuk yang sama. Tetapi, jika diperhatikan dengan lebih dekat, terdapat beberapa kelainan yang menjadikannya sangat berbeza, dengan daya tarikan yang lebih kuat.

Antaranya di bahagian depan, dengan rekaan gril yang lebih ringkas, disertakan bersama palang krom melintang dan menghubungkan bahagian lampu depan dikedua-dua sisi. Rekaan lampu depan juga diberi sentuhan baru. Bahagian bampar depan turut menerima lanjutan dan kesinambungan dari gril di atasnya, dengan ruang bagi lampu nyalaan siang.

Bahagian belakang mungkin menempatkan perubahan paling ketara, dan tentunya jauh lebih menarik dengan rekaan lampu yang ada. Rekaan lampu belakang two-piece yang diterapkan mengubah secara langsung imej penarik yang ada pada Suprima R ini. Ia jauh lebih menonjol, ditambah dengan bahagian palang merah dari lampu yang sama, yang merintangi ditengah, menghubungkan lampu kiri dan kanan.

Bahagian bampar yang lebih luas dan bersih, dengan sedikit bukaan corong di tepi serta sebelah bawahnya yang diberi sentuhan hitam berkilat menjadikannya kelihatan sangat kemas dan elegan. Hujung ekzos dalam bentuk trapezoid dengan kemasan krom juga menyumbang kepada kelainannya.

Ini dilengkapi pula dengan spoiler pada bahagian hujung bumbungnya – Suprima R tampil dalam imej yang bukan saja meyakinkan, tetapi turut mengetengahkan ketelitian rekaan terhadap segala aspek dan perincian yang mungkin. Apa pendapat anda terhadap rekaan yang dihasilkan ini? Ada mana-mana bahagian yang dirasakan masih boleh diberikan penambah baikan? Jika ada pandangan, jangan segan untuk dikongsi.