Proton Suprima X – mungkinkah akan jadi kenyataan?

Proton Suprima X – mungkinkah akan jadi kenyataan?

Bagaimana hasilnya jika idea dan imajinasi terhadap model sedia ada Proton, seperti Suprima S, dilanjutkan lagi untuk menjadi sebuah model crossover atau SUV? Bagi Saharudin Busri, unsur paling utama yang akan menarik perhatian penggemar automotif di Malaysia tentunya rekaan dan pengayaan imej yang sporty.

Di atas sebab itu, beliau membayangkan Suprima X, sebuah rekaan spin-off daripada model Proton Suprima S yang kita kenali selama ini. Pernah bertugas untuk bahagian rekaan di Proton dahulu sebelum berhenti pada 2007, beliau kini merupakan sebahagian daripada penggerak di Pusat Rekaan MIMOS dan dinaungi oleh MIMOS Bhd, sebuah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI).

“Sama seperti ramai lagi rakyat Malaysia yang lain, saya ingin lihat Proton mampu menghasilkan banyak model-model yang lebih menarik. Dari segi rekaan, biarlah ia selari dengan peredaran dan perkembangan pasaran semasa. Walaupun rekaan ini dihasilkan atas kapasiti individu saya sendiri, ia saya lihat semacam satu sumbangan kecil saya selaku seorang pereka yang ingin menterjemahkan rekaan model Proton akan datang dari sudut pandang saya sendiri,” tambahnya.

Proton Suprima X – mungkinkah akan jadi kenyataan?

Ada satu lagi sebab mengapa beliau mengetengahkan rekaan-rekaan dan imej render digital bagi model-model kereta terutamanya dari Proton. MIMOS yang sebelum ini banyak menghasilkan rekaan industrial hanya daripada geran-geran yang diperolehi, ketika ini sedang beranjak pula ke arah menawarkan dan menyediakan perkhidmatan rekaan kepada industri – termasuk juga industri automotif.

“Secara tak langsung, kami juga ingin menunjukkan bahawa MIMOS turut mempunyai kepakaran tempatan dalam bidang rekaan automotif,” ujarnya. Bagaimanapun, setakat ini, belum ada apa-apa urusan rasmi antara pihaknya dengan mana-mana pengeluar kenderaan di Malaysia untuk menghasilkan rekaan bagi model produksi.

Mengapa memilih Suprima S sebagai asas kepada lanjutan rekaan digital yang dihasilkan? “Ini kerana, menurut pandangan mata saya, Suprima S merupakan sebuah model yang mempunyai keunikan tersendiri, dengan penampilan yang matang dan sporty.

Proton Suprima X – mungkinkah akan jadi kenyataan?

“Apa yang saya lakukan dengan rekaan digital ini adalah untuk memperhalusi lagi kemungkinan-kemungkinan yang ada pada model berkenaan bagi tujuan mempelbagaikan lagi pilihan atau varian yang sepatutnya boleh dihasilkan dari Suprima S, sekurang-kurangnya dari aspek rekaan,” jelas beliau.

Rekaan Suprima X ini pula bukanlah sesuatu yang terlalu baru bagi Saharudin. Asas rekaan bagi model konsep berkenaan sudah dimulakannya sejak 2015, dan kini berada dalam penampilan yang dirasakan lebih kemas. Ia tercetus daripada pemerhatiannya terhadap penawaran daripada jenama-jenama lain yang kebelakangan ini kerap hadir dengan rekaan inovatif dalam bentuk sebuah SUV kompak dan crossover.

“Sebagai contoh, seperti model Honda HR-V dan yang seangkatan dengannya, yang begitu berjaya dan menerima sambutan hangat termasuk di Malaysia. Saya membayangkan, sekiranya perlu membangunkan sebuah model baru, ia pasti menelan kos yang tinggi. Jadi, dari aspek reka bentuk, saya rasa Suprima S mempunyai kekuatan sendiri untuk dikembangkan dan ditawarkan sebuah SUV atau crossover,” tambah beliau.

Proton Suprima X – mungkinkah akan jadi kenyataan?

Hasilnya ialah seperti apa yang dapat anda lihat dari gambar-gambar teaser yang disertakan di sini. Masih mengekalkan asas rekaan Suprima S, tetapi dengan bahagian bumbung yang ditinggikan, begitu juga dengan kedudukan bahagian badannya dari tanah.

Turut dapat dilihat ialah sebahagian rekaan lampu depan dan belakang. Begitu juga dengan rekaan bamparnya, yang tampil lebih agresif dengan visual yang lebih menonjol, serta lebih banyak perincian penggayaannya.

Sebagai contoh, selain bampar yang tebal di belakang, ia turut menempatkan bahagian dengan tekstur permukaan yang berbeza dari sekadar permukaan licin. Begitu juga dengan kemasan warna perak atau krom digunakan, seperti pada hujung ekzos.

Proton Suprima X – mungkinkah akan jadi kenyataan?

Sebetulnya, ini bukanlah kali pertama MIMOS terlibat di dalam melahirkan rekaan sebuah kenderaan. Sebelum ini, dengan kerjasama beberapa universiti tempatan serta sebuah universiti dari Thailand, mereka pernah menghasilkan rekaan yang dikenali sebagai C-Concept. Model berkenaan kini disimpan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Jadi, apa pandangan anda? Adakah Suprima X ini wajar dizahirkan dan menjadi kenyataan kelak untuk ditawarkan kepada pengguna? Sepanjang pertemuan kami awal minggu ini, banyak lagi rekaan-rekaan menarik – termasuk versi rekaan penuh Suprima X ini – yang dihasilkan oleh beliau yang sempat ditunjukkan. Kami akan bawakan untuk tatapan anda nanti dari semasa ke semasa.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 

Comments

  • pemalu on May 01, 2017 at 3:23 pm

    masa suprima s baru keluar saya dah pun terbayangkan model ini sesuai untuk crossover mahupun mini 4×4 or 2×4…
    proton patut berani mencuba…

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required