TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

Melihat kepada waktu sekarang ini, Yamaha seperti sudah mendapat formula rekaan yang baik untuk menarik pengguna kepada motosikal mereka. Gaya yang digunakan lebih garang dan moden berbanding pesaing yang lain.

Lihat saja kepada model Y15ZR (juga dipanggil sebagai Y suku di kalangan mat motor). Walaupun mempunyai pesaing dekat iaitu Honda RS150R dalam kategori yang sama, populariti Y15ZR seperti lebih tinggi dan menjadi kegilaan ramai peminat motosikal.

Sebolehnya, saya mahu membuktikan perkara ini melalui data jualan, tapi pengeluar motosikal tidak menyiarkan jumlah spesifik model yang mereka jual kepada pelanggan. Jadi, kalau mengikut pemerhatian saja, baik di atas jalan raya mahupun media sosial, pengaruh Y15ZR nampak seperti lebih kuat.

Bukan setakat model itu, melihat pula kepada skuter, NVX155 juga mencetus fenomena sama. Honda PCX yang merupakan pesaing terdekatnya cuma popular bagi mereka yang mahukan penampilan tidak begitu menonjol, manakala NVX155 pula menarik penggemar ciri sporty. Dan sudah tentu, mereka yang mahukan ciri sporty lebih tinggi jumlahnya di negara kita.

Anda boleh mengatakan bahawa ini cuma pendapat saya, tapi maklum balas yang diterima apabila memuat naik berita di laman paultan.org/BM juga menjurus kepada perkara sama. Sebagai contoh, Honda PCX kini sudah ada model baru dengan sistem hibrid, yang bakal tiba di negara kita tidak lama lagi, tapi sambutan terhadap beritanya tidak begitu seberapa berbanding berita sewaktu NVX155 baru diperkenalkan di Indonesia dulu.

TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

Saya boleh bandingkan lagi model-model lain, tapi rasanya mungkin anda sudah dapat apa yang cuba disampaikan. Dan awal tahun ini, satu lagi model baru yang diperkenalkan oleh Hong Leong Yamaha Motor sekali lagi tiba dengan rekaan yang menarik dan garang, meskipun adalah sebuah skuter. Ia adalah XMax 250.

Lihat saja muka depannya. Sekian lama saya terfikir, ia nampak jahat, tapi sebenarnya juga agak menyerupai sesuatu. Akhirnya kini baru saya teringat. Ia seperti topeng Magneto dari siri superhero X-Men. Malah, warna coklat kemerahannya juga seperti hampir sama.

Di belakang, konsep rekaan bergaris tajam juga digunakan, dengan lampunya terpisah kepada dua bahagian dan tirus di bahagian tengah. Kedua-dua lampu depan dan belakang ini adalah unit LED, jadi keterangan cahayanya memang dapat memberikan manfaat supaya pengguna lain nampak kedudukan kita atas jalan. Walaubagaimanapun, saya merasakan ia sedikit kurang efektif dalam menerangi jalan dan tidak banyak beza antara lampu tinggi dan rendah.

Pada pendapat saya, kalau dibandingkan dengan Honda NSS300 (atau juga dikenali sebagai Forza) yang berada dalam pasaran Malaysia sekarang, XMax boleh menang dengan mudah daripada aspek gaya. Tetapi perkara ini boleh jadi terbalik dengan model Forza baru, tahun 2018 yang kini sudah pun dilancarkan di Thailand dan akan tiba di negara kita tidak lama lagi.

Forza 300 2018 ini bukan setakat nampak sahaja lebih sporty dan moden, malah juga dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), iaitu satu sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman serta penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik menggunakan butang di pemegang.

TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

Tapi sementara model itu belum tiba di Malaysia, ia memberi peluang kepada XMax untuk menikmati pasaran yang ada. Setelah beberapa hari bersama skuter Yamaha ini, saya boleh katakan memang patut pun kalau ia dapat menguasai pasaran dengan mudah. Sebelum ini, pilihan yang popular cuma daripada jenama seperti SYM, Kymco dan Modenas, tapi dengan ketibaan model jenama Jepun, ia pasti mengubah suasana.

Kelebihan utama skuter besar (juga dipanggil sebagai skuter maxi) seperti ini sudah tentu adalah praktikaliti. Cukup senang hati saya menggunakan XMax 250 ini setiap hari kerana tidak perlu memikirkan di mana perlu meletakkan barang apabila sudah meletakkan motosikal.

Ruang bawah tempat duduk cukup besar, sehingga boleh meletakkan dua helmet fullface dan masih ada lagi ruang kosong. Jadi walaupun pada hari biasa, saya boleh menggunakan helmet yang lebih elok, dan apabila mahu turun, saya boleh meletakkannya di bawah tempat duduk dan tidak terdedah begitu sahaja. Kalau pada motosikal biasa, cangkuknya dikunci bawah tempat duduk pun, pasti berisiko hilang.

Dengan ruang seperti ini juga, bercuti keluar bandar pada hujung minggu berdua tidak akan menjadi masalah. Motosikal anda masih dalam keadaan asal, tapi barang boleh dimuatkan di bawah tempat duduk itu. Di bawah bahagian pemegang juga ada dua lagi tempat simpanan, tetapi lebih kecil.

Satu daripada tempat simpanan itu, iaitu yang terletak di sebelah kiri mempunyai dua kelebihan – ia boleh dikunci secara automatik apabila motosikal dikunci dan terdapat soket kuasa 12V yang memudahkan anda mengecas peranti elektronik seperti telefon ataupun GPS. Satu lagi yang di sebelah kanan pula boleh dibuka bila-bila masa.

Yamaha XMax 250 didatangkan dengan sistem tanpa kunci seperti NVX155, yang bermaksud anda tidak perlu mencucuk kunci untuk menghidupkan motosikal. Kunci tersebut boleh disimpan sahaja dalam poket atau beg, dan apabila sudah hampir dengan motosikal, ia boleh dihidupkan dengan memulas tombol operasi berhampiran pemegang. Bawah padanya pula terdapat butang untuk membuka ruang simpanan kecil sebelah kiri dan bawah tempat duduk.

Dengan operasi seperti ini, ia memang cukup mudah. Saya tidak perlu tercari-cari kunci apabila mahu menghidupkan motosikal dan turun serta naik motosikal ini dapat dilakukan dengan pantas. Cuma satu masalah yang sering saya hadapi adalah apabila mahu mengunci pemegang, beberapa kali saya akan terbuka tempat mengisi minyak.

Sebagai sebuah motosikal jenama Jepun, saya rasakan XMax 250 ini mempunyai banyak kelebihan berbanding pesaingnya dari Taiwan ataupun Korea. Anda boleh melihat perkara ini bermula dengan kualiti binaannya. Plastik yang digunakan baik pada panel badan, butang kawalan mahupun keliling meter semuanya mempunyai kemasan yang sedap mata memandang, dan apabila bergerak, tidak akan ada bahagian yang bergegar dan merimaskan.

Panel meter itu sendiri, walaupun nampak ringkas tapi sebenarnya agak lengkap dengan pelbagai informasi. Penunjuk analog digunakan untuk kelajuan serta kadar rpm manakala di bahagian tengah terdapat skrin LCD satu warna yang memaparkan suhu, tahap minyak, penggunaan bahan api, suhu udara, jarak perjalanan, masa, tahap bateri dan tahap penggunaan tali sawat. Informasi apa yang dipaparkan pada meter ini boleh dikawal dengan menggunakan butang yang terdapat pada bahagian kiri pemegang.

TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

Kemudiannya, kualiti tunggangan yang disediakan juga agak baik. XMax 250 ini cukup stabil atas jalan raya dan ia boleh memberi keyakinan waktu mengambil selekoh. Semuanya hasil tetapan suspensi yang baik, iaitu jenis teleskopik di hadapan dan dua penyerap di belakang, saiz rim besar (15 di hadapan dan 14 di belakang), serta tayar yang tebal (120/70 di hadapan dan 140/70 di belakang).

Menambah pula ciri keselamatan, skuter maxi ini turut didatangkan dengan sistem kawalan cengkaman serta brek ABS two-channel. Disebabkan ia adalah sebuah skuter, tiada butang untuk menutup dua sistem ini. Dalam keadaan jalan kering, saya cukup berpuas hati dengan cengkaman yang terhasil, tetapi apabila basah, saya kerap merasakan tayar Dunlop Scoot Smart pada bahagian hadapannya agak licin.

Bukan setakat rasa ‘geli-geli’ sahaja, malah ada sekali tayar depan saya tergelincir sedikit dan mujur saya dapat menyelamatkan keadaan daripada terjatuh. Dalam keadaan tayar hadapan tergelincir, sistem kawalan cengkaman pun tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia berfungsi hanya dengan mengurangkan kadar pendikit dan kuasa yang sampai ke tayar belakang.

Biasanya, orang yang mempertimbangkan skuter maxi ini pasti mahu melihat kepada kemampuan perjalanan jarak jauh. Apa yang saya boleh katakan, ia agak selesa dan mampu membuatkan anda santai menyanyi dalam helmet. Seperti yang boleh dilihat, tempat duduknya cukup luas (rasanya juga empuk), sehinggakan ada kalanya walaupun membawa penumpang, saya merasakan seperti menunggang sendiri kerana duduk terlalu jauh, dan kedudukan menunggang juga tegak tanpa sebarang paksaan.

Penunggang juga mempunyai tempat letak kaki yang luas, dan mempunyai pilihan sama ada mahu meletakkan kaki secara tegak seperti biasa ataupun melunjur ke hadapan. Sebenarnya ini adalah perkara penting bagi sebuah skuter maxi yang dapat mengelakkan kaki lenguh waktu perjalanan jauh, dan masih ada model-model yang tidak dapat menyediakan kedudukan yang betul.

TUNGGANG UJI: Yamaha XMax 250 – rupa dah garang, tapi bagaimana dengan prestasi dan ciri-ciri lain?

Bagi saya yang berketinggian sekitar 180 sm, penghadang angin hadapan pada motosikal ini perlu lebih tinggi untuk jadi lebih berkesan waktu tunggangan atas lebuh raya. Dalam keadaan asal, penghadang ini tidak boleh dilaras, tetapi ia dilihat seperti mempunyai beberapa tapak yang mungkin boleh digunakan untuk meletakkannya dalam kedudukan yang berbeza. Jika benar, beberapa skru perlu ditanggalkan dan dipasang semula pada lubang tersebut.

Walaupun mempunyai kapasiti enjin lebih besar daripada skuter saiz biasa seperti NMax dan NVX, anda tidak boleh mengharapkan prestasi yang begitu mengujakan melalui XMax. Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 250 cc ini adalah 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork, tetapi ia perlu menarik badan seberat 179 kg.

Diterjemahkan kepada bahasa mudah, ia tidaklah ‘jahat’ seperti T-Max 530 atau Aprilia SRV 850 (yang sudah tentunya mempunyai enjin kapasiti lebih tinggi), tetapi masih mampu memberikan kuasa yang memuaskan. Apa yang lebih dinikmati adalah penyampaian yang lancar dan tiada kelambatan akibat kesan regangan tali sawat pada transmisi V-Belt yang digunakan.

Kalau di atas jalan yang terbuka, XMax 250 boleh mencapai kelajuan sehingga 150 km/j dan ia masih kekal stabil pada waktu itu. Bagi penggunaan bahan api, dalam penggunaan yang bercampur keadaannya, saya dapat mencatat jarak hampir 300 km dengan isian penuh tangki 13 liternya. Ini dengan cara menunggang saya yang mempunyai tangan agak aktif. Kalau anda lebih santai, pastinya dapat pergi lebih jauh.

Di Malaysia, Yamaha X-Max 250 dipasarkan pada harga RM21,225 (GST 0%) tanpa insurans dan kos pendaftaran lain. Ia baru sahaja dilancarkan tiga bulan yang lepas, tapi di sekitar Kuala Lumpur saya sudah mula kerap melihatnya di atas jalan raya. Ia bukan sesuatu yang pelik kerana di merata negara lain – bukan sahaja negara jiran, malah juga Eropah – XMax menerima sambutan yang baik. Tetapi di Eropah, ia ditawarkan dengan pilihan enjin 125 cc, 300 cc dan 400 cc.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required