Pada Ahad lalu, empat lelaki maut dan seorang lagi cedera akibat dirempuh sebuah Toyota Vios yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita dalam keadaan mabuk. Kejadian yang berlaku di Tawau, Sabah, itu turut menjadi tular di laman media sosial.

Susulan daripada kejadian itu, Kementerian Pengangkutan akan memperketatkan undang undang terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk sekiranya mempunyai keperluan.

Menurut menterinya Anthony Loke, pihaknya akan melihat keberkesanan undang undang sedia ada untuk menyelesaikan isu terbabit sama ada hukuman sedia ada setimpal atau sebaliknya, laporan Berita Harian.

“Saya amat kesal, dukacita dan sedih dengan kemalangan terbabit. Saya mengambil berat dan akan mencari jalan sekiranya undang-undang sedia ada tidak cukup ketat, kita akan memperketatkan,” katanya sambil menambah kementerian akan mencari langkah terbaik supaya kejadian sebegitu tidak berulang lagi.

Sehingga kini, undang undang memperuntukkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.