Jenama automotif dari Malaysia, Proton berjaya mencatatkan jumlah jualan sebanyak 8,102 unit kenderaan untuk bulan Julai 2018, meningkat sebanyak 31% lebih tinggi dari bulan sebelumnya (Jun) serta rekod tertinggi setakat ini sepanjang 30 bulan yang lalu. Kejayaan ini disumbangkan oleh faktor “cuti cukai” yang diumumkan kerajaan bermula 1 Jun lalu (GST dikadarkan 0%) sehingga 1 September (SST dilaksanakan) dan juga aktiviti eksport Proton yang kini disambung semula.
Pegangan pasaran Proton juga meningkat sebanyak tiga bulan berturut-turut dengan anggaran 11.7% bagi Jualan Keseluruhan Industri (TIV) untuk bulan Julai. Jumlah tersebut meningkat berbanding jumlah pegangan pasaran sebanyak 9.6% yang diperoleh pada bulan Jun mengikut angka yang dikongsi oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Saga dan Persona kekal sebagai model pilihan apabila mencapai jualan 3,000 unit buat kali pertama pada 2018. Persona turut mencapai sasaran baharu untuk tahun ini apabila merekodkan jualan lebih daripada 2,221 unit, memecahkan rekod pertama kali iaitu sebanyak 2,000 unit sejak Mei 2017.
“Julai adalah bulan yang sangat baik untuk PROTON kerana kami telah mencapai jumlah yang paling tinggi bukan hanya untuk 2018 tetapi juga untuk 30 bulan yang lalu. Kami tahu bahawa faktor utama yang meningkatkan jualan adalah disebabkan pengecualian cukai melalui GST berkadar sifar sebelum pelaksanaan SST pada bulan September tetapi jumlah jualan tersebut juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia telah membuka mata mereka dengan tawaran menarik yang terdapat pada barisan kereta-kereta kami.” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.
“Justeru, kami berharap dapat mengekalkan momentum ini walaupun selepas SST diperkenalkan kerana kami bersedia untuk melancarkan SUV pertama pada tahun ini,” tambah En. Rashid lagi.
Seperti bulan-bulan sebelum ini, Proton terus menyokong Tabung Harapan Malaysia dengan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual sehingga 31 Disember 2018. Oleh itu, dengan penjualan sebanyak 8,102 unit kereta pada Julai, sejumlah RM81,020 akan diperuntukkan tambahan dari sumbangan sebanyak RM61,730 pada bulan Jun.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.