Semalam akaun Facebook Proton Boyue X7 Community (Malaysia) telah menyiarkan imej bocor di mana Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir bersama Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton bergambar di hadapan SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue dan menampakkan ‘muka sebenar’ model tersebut. Hari ini kami mendapat gambaran yang lebih jelas apabila portal permotoran China, autohome.com.cn menyiarkan satu set foto SUV berkenaan yang telah bocor.
Tidak hairan mengapa mereka menerima imej ini kerana kumpulan pertama SUV Proton berkenaan sememangnya akan dihasilkan secara CBU di China, manakala model pemasangan tempatan akan mula masuk ke pasaran tahun hadapan.
Menerusi foto ini kita dapat melihat dengan jelas bagaimana rupa sebenar gril hadapan SUV berkenaan – bukan sahaja menampilkan elemen tiga jalur melintang, malah turut diberikan perincian berbentuk trapezoid. Jika anda lihat lagi dengan teliti, sebuah penderia turut ditempatkan dibawah logo 3D Proton.
Beralih ke bahagian belakang, SUV ini diberikan kemasan nombor pendaftaran baharu pada pintu tailgate yang diberikan abjad ‘PROTON’ mengingatkan kita kepada model hatchback segmen-C sedia ada, Proton Suprima S.
Ciri lain, SUV ini masih lagi sama dengan unit yang bocor sebelum ini, menampilkan rekaan bampar dengan apron yang lebih agresif sama seperti pada Boyue facelift dan dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar dari model Boyue terdahulu.
April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.
SUV ini turut akan didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar. Sebelum ini juga telah tersiar video bagaimana Tun M menguji sistem kawalan menggunakan suara bagi mengaktifkan pelbagai fungsi pada SUV ini.
Proton sudah pun membuka peluang orang ramai untuk menamakan SUV ini menerusi pertandingan yang telah diumumkan lebih tiga bulan lalu, dan model ini dijangka akan membuat pra-penampilannya bulan ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
rim tu tak boleh lawa sikit ke? plain nak mam
Kalo nak lawa nnt ko letak le eye shadow dgn foundation…lawa le dia.
sampai sini nanti, tukarlah dgn rim range rover evoque.