Minggu lalu, laman facebook rasmi Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamed mendedahkan foto-foto pemimpin nombor satu negara berkenaan menguji prototaip SUV pertama keluaran Proton yang bakal membuat kemunculan pada suku keempat tahun ini. Terbaharu, laman youtube rasmi Tun M pula menyiarkan video pandu uji tersebut.

Dalam video ini, Tun M dilihat menguji sistem kawalan menggunakan arahan suara pada SUV berkenaan di mana beliau menutup bumbung suria menerusi fungsi tersebut menggunakan Bahasa Inggeris. Video dengan durasi satu minit ini juga turut memaparkan bagaimana seorang kakitangan Proton mendemonstrasikan bagaimana fungsi ini turut boleh digunakan pada kelengkapan lain, contohnya untuk menghidupkan radio dan memilih siaran radio.

Selain mendedahkan bahawa prototaip versi pemanduan sebelah kanan sememangnya telah wujud, unit ini juga turut dilihat berberapa bahagian yang telah di’Proton’kan. Perbezaan ketara dapat dilihat adalah pada gril hadapannya, di mana unit gril dengan rekaan expanding cosmos Geely telah digantikan dengan unit menerapkan elemen tiga jalur melintang serta berkemungikan ia telah menerima logo kepala harimau.

SUV tersebut juga nampaknya menampilkan rekaan bampar dengan apron yang lebih agresif sama seperti pada Boyue facelift, namun ia dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar dari model Boyue terdahulu. Perincian lain yang dapat diperhatikan adalah lencana T-GDI pada pintu hadapan bagi mengesahkan ia dari versi janaan enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, bumbung suria dan juga upholsteri dalaman dengan tempat duduk dibaluti kulit berwarna perang.

Dalam satu lagi laporan berasingan minggu lalu, Tun M turut menyatakan bahawa beliau berasa kagum dengan kualiti dan pembuatan SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue berkenaan. “Saya telah menguji kereta tersebut. Ia benar-benar bagus. Kualitinya juga tinggi dan saya berpendapat ia adalah kereta yang bagus untuk pasaran,” ujarnya.

April lalu, Proton telah mendedahkan ciri-ciri yang bakal dilengkapi pada Boyue versi mereka yang nampaknya diambil terus dari versi facelift terbaharu. Antara ciri-ciri berkenaan termasuk enjin 1.8 liter turbo dengan suntikan bahan api terus, sistem pemantau titik buta, brek kecemasan automatik (AEB), cruise control adaptif, amaran keluar laluan dan juga lampu tinggi automatik.

SUV ini turut didatangkan dengan pembersih udara pintar, sistem pemantau angin tayar, kamera 360-darjah dan juga sistem infotaimen bersama skrin sesentuh lapan-inci lengkap dengan hubungan internet 4G dan juga aplikasi mudah alih serta fungsi kawalan jauh menerusi telefon pintar.

Proton sudah pun membuka peluang orang ramai untuk menamakan SUV ini menerusi pertandingan yang telah diumumkan lebih dua bulan lalu, dan model ini dijangka akan membuat pra-penampilannya bulan hadapan. Semasa dilancarkan nanti, SUV berkenaan akan hadir dalam versi diimport sepenuhnya dari China (CBU), manakala versi pemasangan tempatan akan mula dihasilkan tahun hadapan.

GALERI: Geely Boyue facelift 2018